Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (tengah) bergambar kenangan bersama peserta pada Majlis Pelancaran IKRAR Kementerian Pertahanan Perteguhan Negaraku di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 12 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Rakyat perlu memberi mandat yang besar kepada Barisan Nasional (BN) supaya agenda untuk memastikan diplomasi pertahanan dengan kuasa-kuasa besar terus dihormati.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, perkara itu penting kerana kerajaan sebelum ini sangat mementingkan kestabilan dan menjalinkan hubungan dengan negara-negara berkenaan.

“Kita nak buat kerja sebab selepas PRU yang lalu kita banyak buang masa dengan berpolitik. Kita tidak mahu lagi selepas ini.Penat.

“Kita sama-sama berdoa supaya mandat selepas ini dapat mengizinkan kita (BN terus mentadbir), bukan nak tunjuk kita ni hebat sangat tapi dengan mandat ini kita nak terus bekerja,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Ikrar Kementerian Pertahanan di Wisma Perwira di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hishamuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata, warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) veteran perlu berganding bahu menolak segala macam bentuk fitnah kepada kerajaan.

Ujarnya, langkah itu termasuklah tidak mudah mempercayai kata-kata hasutan serta tidak terpedaya dengan sebarang isu yang ditimbulkan.

Katanya, menjelang pilihan raya umum ada pihak-pihak tertentu cuba menimbulkan suasana yang tidak tenteram.

“Dalam musim sebegini (PRU) banyak tuduhan serangan. Saya dalam politik sudah lama dan saya sudah biasa dengan perkara ini. Tapi dengan tuduhan ini sebolehnya biarlah ia tidak kedengaran.

“Sekarang ini, ada pulak mereka yang tertentu tak pernah bangkitkan perkara ini dulu lagi. Sekarang ini muncul menidakkannya,” ujarnya.

Tambah beliau, dengan ikrar yang dibuat hari ini, warga ATM digesa agar tidak melayan anasir-anasir yang boleh mengganggu gugat kestabilan dalam pasukan keselamatan itu.

Hadir sama pada majlis ikrar berkenaan Ketua Setiauasaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Rahim Razi dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Afandi Raja Mohd. NorĀ  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast