Home Dunia Polis heret keluar penumpang saman United Airlines

Polis heret keluar penumpang saman United Airlines

David Dao yang diseret keluar dari pesawat United Airlines pada April tahun lalu. foto Agensi

NEW YORK – Bekas pegawai polis Chicago yang membantu menyeret seorang penumpang lelaki berusia 69 tahun dari pesawat United Airlines yang menimbulkan kemarahan antarabangsa menyaman syarikat penerbangan itu kerana memecatnya.

James Long, salah seorang daripada beberapa pegawai yang terlibat mengheret David Dao dari pesawat pada 9 April 2017 memfailkan saman pada hari Selasa terhadap United, Jabatan Penerbangan Chicago dan pesuruhjayanya, Ginger Evans.

Tuntutan itu difailkan di mahkamah Cook County, Illinois, mendakwa dia tidak dilatih dengan betul tentang cara menggunakan kekerasan.

Dalam insiden tahun lalu itu, Long telah mengheret Dao keluar daripada pesawat United Airlines di lorong laluan kapal terbang bagi memberi laluan kepada penumpang lain.

Dao yang telah duduk di kerusi penumpang diminta memberi tempat duduknya kepada anak kapal bagi penerbangan dari Chicago ke Louisville, Kentucky. Bagaimanapun beliau enggan.

Ketika kejadian pesawat itu telah terlebih muatan penumpang.

Susulan kejadian itu, Dao mengalami patah hidung dan dua batang gigi.

Bagaimanapun kes itu diselesaikan dengan United Airlines dan kemudian memohon maaf.

Long dipecat oleh bandar itu selepas insiden tersebut menjadi viral apabila masyarakat marah kepada United Airlines dan industri penerbangan Amerika Syarikat disebabkan perkhidmatan terburuk itu.

Dalam saman itu, Long mengekalkan penggunaan ‘paksaan minimum tetapi perlu’ bagi mengeluarkan Dao dan sepatutnya United Airlines tahu penglibatan polis penerbangan akan menyebabkan berlaku paksaan fizikal.

Long menuntut kerugian akibat kehilangan pendapatan sebagai pegawai penerbangan, faedah-faedah lain termasuk percutian, perlindungan insurans dan pelan persaraan dan kos-kos perundangan. – MalaysiaGazette