Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyerahkan replika kunci rumah kepada Junayer Sukiman (kiri) sambil diiringi Pengurus Besar Perkhidmatan Pelanggan TNB Kuala Lumpur, Ir A. Sivanas (tengah) pada Majlis Kesyukuran Projek Baiti Jannati TNB 2018 di Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Johari Abdul Ghani meminta para pengundi di Parlimen Titiwangsa menilai rekod perkhidmatannya sepanjang lima tahun lalu sebelum membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau yang juga Menteri Kewangan II memberitahu, ini kerana pengundi bebas memilih siapa wakil rakyat kerana kuasa terletak di tangan mereka.

Namun jelas beliau, pilihlah wakil rakyat yang mudah untuk berjumpa rakyat pada bila-bila masa dan tahu di mana pejabatnya.

“Saya mengaku dalam konteks bandaraya senario politik adalah berbeza. Malah sebelum PRU-13 dahulu, Parlimen Titiwangsa bukan milik Barisan Nasional (BN).

“Tetapi Alhamdulillah, berkat sokongan pengundi saya dipilih menjadi wakil rakyat pada PRU-13 walaupun menang majoriti 866 undi sahaja dan kena ingat ketika itu berlaku tsunami bandar.

“Apa yang saya nak bagitau kepada semua pihak, siapa yang hendak jadi wakil rakyat atau di dalam parlimen ini, yang tentu rakyat yang mempunyai kuasa.

“Cuma nak pesan pilih rakyat kita kena pastikan wakil rakyat yang boleh jumpa, di mana pejabatnya dan bila-bila masa boleh jumpa.

“Awak boleh periksa rekod perkhidmatan saya lima tahun lepas malah sebelum itu saya sudah berkhidmat secara sukarela dengan harapan bantu rakyat di parlimen ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas Majlis Kesyukuran Projek Baiti Jannati KL yang dilaksanakan Tenaga Nasional berhad (TNB) di Kampung Baru di sini hari ini.

Mengulas lanjut Johari berkata, menjelang PRU-14 ini, parti pembangkang kini mula datang ke Kampung Baru dengan membawa isu pembangunan.

Jelas beliau, pemimpin yang tunjuk muka lima tahun sekali itu sebenarnya tidak faham isu tanah di kawasan rizab Melayu itu yang berpunca daripada pemilikan tanah.

“Ada pemimpin pembangkang yang datang tuduh saya tidak buat pembangunan termasuk parkir. Saya hendak beritahu yang bercakap ini tidak tahu apa?

“Jadi saya hendak sekolahkan mereka ini bahawa Kampung Baru bukan tanah setinggan. Ia adalah tanah lot yang lotnya dipecah kepada waris yang ramai.

“Hendak bangunkan Kampung Baru esok pun boleh dengan syarat syarat tuan tanah setuju tetapi ada tanah ada sampai 11 nama waris. Kalau seorang tidak setuju macam hendak jual tanah itu.

“Pembangunan pula perlu tanah yang besar hingga dua ekar. Jadi kena kumpul pemilik tanah yang memiliki lot kecil untuk digabungkan tanah mereka. Saya pernah bawa ramai pelabur dan mereka mahu keluasan tanah yang besar,” katanya. – MalaysiaGazette