Home Ekonomi Trump mahu sertai semula TPP

Trump mahu sertai semula TPP

Donald J. Trump

WASHINGTON- Presiden Donald Trump memberitahu ahli-ahli Parlimen dan gabenor Amerika Syarikat yang negara tersebut sedang mempertimbangkan untuk memasuki semula Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPP).

Beliau sendiri yang menarik diri daripada perjanjian tersebut beberapa hari selepas dilantik sebagai Presiden AS.

Pertimbangan semula Trump terhadap perjanjian yang dipanggilnya sebagai “pemerkosaan ke atas AS” dibuat kerana bimbang terhadap ancaman tarif dan pelbagai perkembangan lain akan menjejaskan ekonomi negara tersebut.

Menurut penasihat utama Trump, Larry Kudlow dalam satu temubual dengan New York Times, permintaan untuk menilai semula TPP dibuat secara spontan.

“Isu perdagangan telah meletup.

“Tiada tarikh akhir (untuk penilaian semula menganggotai TPP), kami perlu membentuk satu pasukan tetapi ianya masih belum dilaksana, maksud saya, ianya (idea untuk menyertai semula TPP) hanya timbul beberapa jam yang lalu,” katanya di sini hari ini.

Keputusan Trump untuk keluar daripada TPP dan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) adalah janji manis semasa berkempen dahulu.

Bagaimanapun, seperti biasa, presiden itu mula menukar gear selepas mendengar pelbagai rungutan daripada pihak-pihak penting seperti ahli parlimen dari parti Republikan yang mengatakan pendekatan perdagangan sedemikian akan menyebabkan banyak produk mereka terpaksa di hantar keluar negara.

Dengan menyertai semula TPP, apakah AS telah menemui cara terbaik untuk memberi tekanan kepada China, demikian persoalan yang ditimbulkan oleh salah seorang ahli parlimen daripada Parti Republikan, Senator John Thune.

Bagaimanapun, penyertaan semula AS di dalam TPP adalah satu langkah yang rumit kerana negara-negara anggota seperti Jepun telah bergerak ke hadapan tanpa mempedulikan AS dan meneruskan rundingan tersebut sesama sendiri.

Akhirnya TPP yang diubah nama kepada Perjanjian Komprehensif untuk TPP (CPTPP) telah berjaya dimeterai oleh semua negara anggota asal TPP melainkan AS pada awal tahun ini.- MalaysiaGazette