Agensi Anti Dadah Kebangsaan

KUALA LUMPUR – Agendi Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Hulu Selangor mengesahkan penahanan seorang ketua pemuda bahagian sebuah parti politik pembangkang dan didapati positif syabu ketika ditahan dalam satu operasi, Sabtu lalu.

Suspek berusia 30 tahun itu ditahan AADK daerah itu kira-kira jam 2.15 petang di rumahnya di Batang Kali.

Ekoran penahanan itu, suspek dibawa ke Pejabat AADK Hulu Selangor di Kuala Kubu Bharu untuk saringan awal air kencing.

Hasil ujian mendapati suspek disahkan positif dadah jenis metamfetamin (syabu).

Pegawai AADK Hulu Selangor, Mohd Ghazali Abdul Rahman berkata, tangkapan dibuat berdasarkan maklumat aduan yang diterima dan pungutan air kencing suspek dilakukan di tandas pejabat agensi tersebut.

Menurutnya, suspek di reman di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu selama 14 hari bermula tarikh dia ditangkap.

“Tiada sebarang rampasan barang dan suspek tiada rekod lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya memetik laporan media hari ini.

Difahamkan, suspek disebut-sebut bakal menjadi calon di peringkat negeri oleh partinya. -MalaysiaGazette