Pakatan Harapan mengharapkan sokongan daripada sekurang-kurangnya 45 peratus pengundi Melayu ditambahkan dengan sokongan pengundi Cina untuk mencapai kemenangan di kawasan Melayu.

PETALING JAYA – Pakatan Harapan mengharapkan sokongan sekurang-kurangnya 45 peratus pengundi Melayu ditambahkan dengan sokongan pengundi Cina untuk mencapai kemenangan di kawasan Melayu.

Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin berkata, pembangkang tidak perlu menguasai semua undi Melayu untuk menang kawasan Melayu dalam pilihan raya akan datang, tetapi strategi Pakatan Harapan ialah menumpu kepada pengundi atas pagar yang belum membuat keputusan.

Mengakui bahawa UMNO akan menguasai 40 peratus undi Melayu yang dianggap sebagai penyokong tegar parti itu, Tze Tzin berkata, Pakatan Harapan pula menguasai 20 peratus, Pas sebanyak 15 peratus dan bakinya ialah pengundi atas pagar.

Katanya, sokongan Melayu kepada UMNO adalah mencecah 60 peratus pada Pilihan Raya 2013, tetapi tahap sokongan tersebut menjunam kepada 40 peratus.

“PKR atau Pakatan Harapan menguasai 20 peratus dan jika kami berjaya merampas 25 peratus pengundi atas pagar, maka jumlahnya akan mencecah 45 peratus.

“Ditambahkan dengan undi Cina, maka kami boleh memenangi satu-satu kawasan,” katanya dalam wawancara bersama Sinchew Daily.

Beliau berkata, walaupun dalam kawasan Melayu di mana pengundi Cina hanya menyumbang 15 peratus undi, kaum Cina mampu memenangkan Pakatan Harapan.

Katanya, undi Cina tetap memainkan peranan penting khususnya dalam kawasan separa bandar.

Mengakui bahawa organisasi UMNO sangat kuat di kawasan kampung, Tze Tzin berkata, pembangkang mengharapkan anak kampung yang bekerja di bandar untuk pulang ke kampung dan mengundi kepada Pakatan Harapan.

“Banyak kawasan telah berubah kerana mereka dari bandar membawakan mesej perubahan ke kampung. Kami optimis dalam hal ini,” katanya yang juga percaya akan berlaku ‘tsunami Melayu.” – MalaysiaGazette