Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Persatuan Ampunya Lori Pan Malaysia (PMLOA), Datuk Ng Koong Sin meminta kerajaan menyediakan sekurang-kurangnya 4,000 hingga 5,000 liter diesel bersubsidi setiap bulan kepada pemilik lori.

Beliau berkata, peruntukan diesel bersubsidi sebanyak 2,600 liter adalah tidak mencukupi untuk perjalanan jauh.

Katanya, perhitungan 4,000 hingga 5,000 liter diesel adalah untuk perjalanan jauh termasuk laluan dari Terengganu dan Pahang ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, beliau memahami kerajaan  bimbang bahawa pemberian diesel bersubsidi sehingga 5,000 liter mungkin tidak habis digunakan sehingga dijual secara tidak sah.

Koong Sin justeru mencadangkan penggunaan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) dan jumlah diesel bersubsidi diberikan mengikut perjalanan setiap lori supaya adil buat pemandu lori yang beroperasi untuk laluan dekat dan jauh.

Beliau juga berharap kerajaan akan bekerjasama dengan pihak stesen minyak untuk melakukan penguatkuasaan.

“Kad minyak hanya boleh digunakan untuk kenderaan yang didaftarkan. Jika kuota tidak dihabiskan, ia tidak boleh digunakan kenderaan lain,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Haulier Malaysia, Soo Chee Yeong berkata, pihaknya pernah mencadangkan kepada kerajaan supaya syarikat yang mempunyai lebih satu lori boleh berkongsi kuota.

“Contohnya jika saya memiliki 10 lori, saya akan menerima jumlah disel bersubsidi sebanyak 50,000 liter.

“Jika 5,000 liter untuk setiap lori, ia tidak mencukupi untuk lori yang beroperasi di laluan jauh. Untuk lori yang beroperasi di laluan pendek pula, 3,000 liter sudah cukup.

“Oleh itu, kami berharap kerajaan akan membenarkan lori-lori dalam syarikat sama berkongsi jumlah diesel bersubsidi yang terkumpul,” katanya

Katanya, walaupun maklumat teliti belum diumumkan kerajaan, tetapi hasil perbincangan sebelum ini menunjukkan kerajaan akan menyediakan sejumlah diesel bersubsidi kepada pengusaha.

Ujarnya, pengusaha telah memohon kad minyak bersubsidi daripada syarikat petroleum yang membolehkan mereka membeli diesel bersubsidi mengikut jumlah yang ditetapkan setiap bulan. – MalaysiaGazette