Gambar hiasan -Kawasan tumpuan orang ramai turut menjadi medan warga asing.

KUALA LUMPUR –  “Geng pinjam duit” melibatkan warga asing dilaporkan mengganas semula, dipercayai mempunyai kaitan dengan polisi pengecualian visa antara Malaysia dan China.

China Press melaporkan, geng tersebut yang dipercayai didalangi sindiket beroperasi secara berpasangan sama ada dalam bentuk suami isteri atau ibu dan anak.

Mereka meminta duit antara puluhan ringgit hingga ratusan ringgit daripada rakyat Malaysia yang baik hati di kawasan tumpuan ramai.

Anggota geng akan menggunakan pelbagai alasan termasuk memerlukan duit untuk membeli makanan atau membayar kos penginapan.

Setiausaha Agung Dewan Perhimpunan Cina Malaysia, See Foo Hoong berkata, modus operasi “pinjam duit” telah lama wujud, tetapi hilang selama beberapa tahun sebelum bangkit semula selepas pengecualian visa diberikan kepada pelancong dari China.

Beliau percaya geng tersebut adalah didalangi oleh sindiket antarabangsa yang bekerjasama dengan sindiket tempatan serta memanipulasi warganegara China sebagai “peminjam duit”.

“Mereka akan menggunakan pelbagai cara untuk meminjam duit termasuk membawa bersama warga emas untuk mendapat simpati.

“Lazimnya mereka akan mengetuk cermin kereta dan meminta bantuan dengan memberi alasan perlu duit untuk makan atau gagal mencari saudara-mara mereka di Malaysia,” katanya.

Foo Hoong berkata, jika rakyat Malaysia berlembut hati dengan meminjamkan puluhan ringgit untuk membeli makanan, anggota geng seterusnya akan meminta ratusan ringgit dengan alasan perlu  membayar kos penginapan.

Katanya, penipu juga akan meminta nombor telefon mangsa dan berjanji akan membayar balik wang yang dipinjamkan.

Menurut Foo Hoong, beliau pernah menawarkan makanan kepada anggota geng, tetapi mereka meminta makanan yang mahal seperti ketam dan bir.

Katanya, polis sukar mengambil tindakan kerana anggota geng tersebut tidak memaksa,  mengugut atau menipu, tetapi sekadar meminjam duit daripada orang ramai.

Menurutnya, cara terbaik mengelakkan penipuan adalah tidak melayan anggota geng yang meminta duit di tempat tumpuan ramai. – MalaysiaGazette