
SHAH ALAM – Pelbagai janji dan tawaran istimewa disediakan kerajaan Selangor dalam usaha memenangi hati rakyat ketika hari mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berbaki kira-kira tiga minggu lagi.
Dalam keadaan yang agak terdesak ini, kerajaan Selangor memilih untuk memikat pengundinya dengan menawarkan harga paling terendah bagi kediaman Rumah Selangorku, yang sebelum ini sebanyak sembilan projek telah dibatalkan.
Menurut Datuk Iskandar Abdul Samad, harga baharu kediaman mampu milik itu disediakan menerusi polisi Rumah Selangorku 2.0, yang diperkenalkan kerajaan negeri untuk memastikan harga rumah terkawal.
“Menerusi polisi ini, pemaju perlu membina rumah mampu milik mengikut spesifikasi ditetapkan dengan lebih terperinci bagi memastikan harganya terkawal dan harga siling yang ditetapkan kekal tidak lebih dari RM250,000 seunit.
“Melalui polisi baru ini juga, kita turunkan had rumah kepada RM220,000. Kalau dulu RM250,000 untuk pemaju yang membangunkan lebih dari 10 ekar.
“Sebelum ini, ada pemaju hendak menjimatkan kos telah membina rumah tidak mengikut spesifikasi yang sesuai, jadi dengan polisi baru ini, pemaju perlu membina rumah yang menyediakan persekitaran selesa kepada penduduk yang membelinya,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada majlis pecah tanah Rumah Selangorku Idaman PKNS di Kampung Seri Temenggung, Gombak, dekat sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menurut Iskandar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, penyediaan perumahan yang mampu dimiliki oleh sebahagian besar rakyat khususnya di Selangor adalah agenda utama kerajaan negeri.
Katanya, Selangor adalah lubuk pembangunan dan semestinya tumpuan turut terarah kepada kerajaan negeri dalam memastikan penyediaan kediaman yang mampu dimiliki oleh rakyat.
“Malahan dalam banyak perkara juga, Selangor sering dicemburui kerana berjaya mewujudkan pelbagai skim baharu yang bertujuan untuk mensejahterakan rakyat keseluruhannya.
“Dasar kerajaan negeri yang memperkenalkan pelbagai inisiatif pemilikan rumah menjadikan ia pemangkin kepada akses perumahan berkualiti, selesa dan affordable kepada rakyat, yang mana dapat merealisasikan impian mereka untuk memiliki kediaman berkualiti dengan harga di bawah RM250,000.
“Misalnya, inisiatif terbaharu melalui skim “Smart Selangor First Home Buyers” yang telah dilancarkan Februari lalu membuktikan kerajaan negeri serius dan komited dalam membantu mengurangkan beban bakal pembeli untuk menyediakan 10 peratus bayaran deposit pembelian Rumah Mampu Milik,” katanya.
Beliau berkata, skim seumpaman itu amat signifikan dalam memastikan bantuan kepada golongan sasar tercapai.
ini jelas katanya, menunjukkan kerajaan negeri prihatin dan peka akan keperluan rakyat yang merasa terbeban untuk menyediakan bayaran deposit pembelian rumah dan diharapkan mereka dapat mengambil peluang ini sebaiknya. – MalaysiaGazette















