KUALA LUMPUR- Sejumlah RM12.4 juta telah diperuntukkan kepada pekebun-pekebun kecil persendirian bagi tujuan kawalan bersepadu ulat bungkus.

Kementerian Perusahaan Peladangan dan Komoditi berkata, peruntukkan tersebut disalurkan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kerana sekiranya tidak diatasi dengan segera, serangan ulat bungkus tersebut boleh menjejaskan pengeluaran hasil sawit negara sehingga 47 peratus selain boleh merugikan pekebun kecil sendiri.

Menurut data MPOB, setakat ini hampir 28,051 hektar kawasan pekebun kecil di negara ini telah diserang ulat bungkus.

“Mereka akan dibantu oleh MPOB melalui pelaksanaan Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM).

“Ia melibatkan semburan racun biologi menggunakan bakteria Bacillus Thruingiensis (BT) secara semburan udara dan tidak berbahaya kepada manusia, serangga bukan sasaran serta alam sekitar.

Semburan udara BT ini dilakukan dengan menggunakan kapal terbang dan dron di kawasan tanaman sawit yang mengalami serangan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, serangan ulat bungkus yang serius biasanya mengambil masa sehingga dua tahun untuk dipulihkan sepenuhnya melalui kawalan secara bersepadu. -MalaysiaGazette