Datuk Zulkarnain Mahdar (tengah)

KUALA LUMPUR – Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) meahu Polis DiRaja Malaysia (PDRM) membuka semula kertas siasatan untuk mendakwa pihak terbabit dalam kes pembelian tanah oleh RISDA di Tongod, Sabah bernilai RM155 juta.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kehilangan wang tersebut amat meragukan dan peguam bertanggungjawab Michael Persius Ubu pula masih menghilangkan diri dan dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“GAUM juga meminta pihak polis menyiasat penglibatan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memandangkan Datuk Peter Anthony adalah rakan baiknya.

“Harus diingat RISDA adalah agensi milik penuh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Shafie pula semasa urus niaga terbabit masih lagi memegang jawatan Menteri di KKLW.

“GAUM inginkan penjelasan bagimana Peter boleh terlibat di dalam urusan pembelian tanah terbabit, adakah Datuk Seri Shafie turut membantu, oleh sebab itu kes ini perlu disiasat secara terperinci oleh pihak polis,” katanya hari ini.

Laporan polis yang dibuat oleh Pengerusi GAUM, Datuk Zulkarnain Mahdar di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu, Sabah hari ini meminta PDRM membuka semula kertas siasatan kes berkaitan pembelian tanah oleh RISDA di Tongod Sabah bernilai RM155 juta.

Terdahulu, Zulkarnain membuat laporan di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu hari ini meminta PDRM membuka semula kertas siasatan kes berkaitan pembelian tanah oleh RISDA di Tongod Sabah bernilai RM155 juta.

Sebelum ini, Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Peter Anthony direman tiga hari bermula 6 sehingga 8 Januari lalu berhubung kes urusan pembelian tanah ladang sawit bernilai kira-kira RM155 juta di Tongod, Sabah.

Perintah tahanan reman itu diminta bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17A Akta SPRM 2009.

Zulkarnain juga berkata, sebelum ini RISDA telah memberi sejumlah RM15.5 juta kepada peguam Datuk Ainal Fattah sebagai bayaran pendahuluan pembelian tanah ladang sawit di Tongod Sabah.

“Namun apabila urusan jual beli tanah gagal, disebabkan tanah tersebut adalah tanah adat wang pendahuluan tersebut masih gagal dikembalikan kepada pihak RISDA,” katanya.

Pada 5 Januari lepas, Peter ditahan SPRM ketika hadir di pejabat agensi itu untuk memberi keterangan berhubung isu pembelian tanah berkenaan.

Peter bagaimanapun dibebaskan pada 12 Januari lalu oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu dengan ikat jamin RM55,000 selepas tempoh tahanan remannya tamat. – MalaysiaGazette