KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menzahirkan perutusan Selamat Menyambut Hari Wesak kepada seluruh penganut agama Buddha di Malaysia.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office hari ini, baginda berdua menyatakan harapan Hari Wesak disambut dengan meriah dan penuh kegembiraan, bukan sahaja oleh penganut agama Buddha, malah seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, sambutan bersama pelbagai kaum dan budaya selari dengan prinsip menjunjung nilai keamanan, keharmonian dan perpaduan antara kaum.

Selain itu, baginda berdua turut menyeru seluruh rakyat memperkukuhkan hubungan sesama kaum dan semangat perpaduan serta rasa cinta kepada tanah air.

“Setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara demi masa depan yang lebih gemilang,” titah baginda.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena perutusan Hari Wesak mengajak masyarakat pelbagai kaum bersama-sama menyemarakkan karamah insaniah dan menyuguh prinsip hormat yang tulus sesama insan dalam kemajmukan rakyat.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast