Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehin Muhkyi berucap pada Majlis Pengumuman Calon-calon PAS Negeri Selangor sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 19 APRIL 2018.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehin Muhkyi berucap pada Majlis Pengumuman Calon-calon PAS Negeri Selangor sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 19 APRIL 2018.

SHAH ALAMĀ – Parti komponen Gagasan Sejahtera dijangka meletakkan calonnya sekurang-kurangnya di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehin Mukhyi berkata, jumlah sebenar dan senarai calon itu akan diumumkan sendiri oleh pemimpin komponen Gagasan Sejahtera dalam terdekat.

“Kalau tidak diumumkan pun kita akan turun ke DUN berkaitan terus diumumkan di peringkat DUN nanti.

“Tapi nama-nama mereka telah dimaklumkan kepada kita (Pas Selangor) tentang calon-calon mereka.

“Mereka akan memenuhi baki DUN yang kita tidak tandingi, kalau 47 kerusi daripada 56 DUN yang ditandingi Pas, lebih kurang ada sembilan kerusi boleh ditandingi, paling kurang tujuh atau enam kerusi,” katanya selepas Majlis Pengumuman Calon Pas Selangor di sini, malam tadi.

Calon-calon Parlimen dan Dun bagi seluruh kawasan negeri Selangor yang ditandingi oleh PAS mengaminkan doa pada Majlis Pengumuman Calon-calon PAS Negeri Selangor sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 19 APRIL 2018.

Selain Pas, Gagasan Sejahtera dianggotai oleh Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Cinta Malaysia (PCM).

Gagasan itu juga disertai oleh 200 badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Kongres Rakyat, dan individu perseorangan iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sallehin juga tidak menolak rakan komponen Gagasan Sejahtera akan meletakkan calonnya di Parlimen Damansara dan Subang di mana Pas tidak meletakkan calonnya pada pilihan raya kali ini.

“Kerusi yang akan ditandingi Gagasan Sejahtera di kerusi campuran termasuk kerusi DAP, Sekinchan kita tanding, Kuala Kubu Bharu kita tanding, Sg Pelek dan kita ada potensi besar menang di tempat itu,” jelasnya.

Sallehin turut optimis calon-calon Pas Selangor yang diketengah kali ini mampu memenangi kerusi-kerusi DUN sekaligus berupaya mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor daripada Pakatan Harapan.

“Harapan (calon) kita akan mengambil alih Kerajaan Negeri Selangor dalam PRU14, kita akan mengurus tadbir kerajaan negeri kerana calon-calon kita bukan asing di peringkat negeri.

“Mereka ini adalah Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ahli Majlis Kerajaan tempatan dan memang ada pengalaman dalam bidang politik dan pentadbiran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette