Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional Negeri Perak PRU-14 di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Ipoh, Perak. foto IQBAL BASRI, 21 APRIL 2018 .

IPOH – Manifesto Barisan Nasional (BN) Perak menjanjikan tujuh teras utama kepada pengundi negeri ini.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, ia adalah janji BN kepada rakyat negeri ini sekiranya parti itu terus kekal menguasai kerajaan negeri.

Antaranya ialah mengukuhkan ekonomi negeri dan meningkatkan pelaburan.

“Pembinaan lapangan terbang baharu di Sri Iskandar, ekonomi mengikut kluster di setiap daerah, zon perdagangan bebas Sri Iskandar, merancakkan pembangunan pekan-pekan kecil,” katanya semasa melancarkan Manifesto BN Perak di sini hari ini.

Kedua, kata Zambry, bagi meringankan kos sara hidup dan mewujudkan peluang pekerjaan seperti kedai bergerak 1Amanjaya dengan tawaran diskaun sehingga 13 peratuskepada penerima bantuan kebajikan, tiada kenaikan tarif air, program brain gain untuk peluang pekerjaan rakyat Perak.

Ketiga, perumahan dengan pertambahan 35,000 rumah mampu milik dengan menaikkan peruntukan program bina baru dan baik pulih rumah, program rumah bahagian bagi pasangan baru berkahwin, pengecualian yuran guaman bagi rumah Amajaya 1 & 2.

Keempat, katanya, bagi mengupayakan modal insan dengan menjamin peluang pendidikan dengan pemberian skim sara hidup Amanjaya bagi anak Perak di IPTA, imbuhan RM500 bagi penuntut mendapat CGPA 3.7, RM300 untuk tabung pendidikan Amanjaya setiap kelahiran anak Perak, bantuan utiliti kepada sekolah tahfiz dan agama yang berdaftar dan memperluaskan pelaksanaan Akademi Insan Muda Amanjaya.

“Bantuan terus RM1,000 hingga RM1,300 kepada pelajar dimana keluarga berpendapatan dibawah RM5,000,” katanya.

Kelima, menurut Zambry, menjamin kesejahteraan, keselamatan dan keamanan.

Menaikkan kadar bantuan am kebajikan diantara RM300 hingga RM500, menaikkan pemberian air percuma golongan miskin daripada 20 kepada 30 meter padu, rumah ibadat dinaikkan 20 kepada 90 meter padu, bantuan asas bencana RM200 kepada RM300, cuti tanpa rekod tujuh hari kepada penjawat awam untuk jaga ibu bapa uzur.

Program rakyat sihat dengan memberikan program pemeriksaan kesihatan doktor pakar secara berkala, mengurangkan kadar jenayah, memerangi dadah, kepolisian komuniti, mengekang eksterisme.

Keenam, kata Zambry, kelestarian dan pembangunan mapan dengan memulihara kawasan hutan simpan sebanyak 47.43 peratus, penanaman dua juta pokok paya bakau, melaksanakan lima deklarasi Royal Belum, dan pembukaan tempat perlindungan gajah.

Ketujuh pula, Perak akan dijadikan sebagai destinasi pelancongan antarabangsa dengan usaha pemasyhuran Geopark Lembah Kinta, meningkatkan liputan dunia dengan menambah pengiktirafan tapak warisan UNESCO dan penjenamaan semula visual logo Bandaraya Ipoh.- MalaysiaGazette