ALOR SETAR – Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dibentang adalah inklusif yang mana semua golongan akan menerima manfaat daripada janji-janji yang ditawarkan.

Perdana Menteri berkata, manifesto yang dibentang meliputi dua prinsip utama iaitu memakmurkan ekonomi dan mensejahterakan rakyat dengan semua golongan tidak akan dipinggirkan dalam arus pembangunan negara.

“Dalam bab kesejahteraan rakyat sahaja, siapa kita tidak tolong… pemandu teksi dapat kad 1Malaysia, anak baharu lahir dapat ADAM50, pesawah dapat RM200 untuk dua bulan antara musim dan hari itu  di Jerlun saya umum jika BN menang malam itu juga saya tambah untuk pesawah.

“Imam, bilal, tok siak pun dapat… tok batin pun dapat, pegawai penjawat awam dapat kenaikan gaji tahunan khas tahun ini, pekebun kecil dapat, nelayan dapat, orang pergi haji dapat, apa lagi… semua dapat, bila saya kata inklusif bermakna semua akan dapat,” kata beliau semasa majlis bersama rakyat di Pendang hari ini.

Berbeza dengan pembangkang, Najib berkata, janji yang ditawarkan mereka belum tentu dapat ditunaikan malah negeri yang diperintah mereka gagal menunaikan janji-janji mereka semasa pilihan raya umum lalu.

“Pembangkang tak tau lagi, di Selangor tu, mereka bagi undi PKR rakyat dapat baldi… itu di Selangor.

“Di Pulau Pinang, mereka tak dapat terowong, tidak ada cahaya di hujung terowong… tapi kita bab akujanji lima tahun lalu, 99.4 peratus dah kita laksanakan,” katanya.

Dalam pada itu menyentuh permintaan masyarakat Siam di Kedah berhubung kemasukan anak-anak mereka ke UiTM, Najib berkata, kerajaan akan meluluskan kemasukan mereka ke pusat pengajian tinggi itu.

“Saya umumkan masyarakat Siam akan dapat masuk UiTM, tindakan sudah diambil oleh Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyatakan sokongan kepada Manifesto BN Kedah yang dibentang baru-baru ini dan menggesa pengundi tidak membuat keputusan merugikan jika mahu usaha pembangunan dapat diteruskan.

“Beri mandat kepada BN, kita akan terus bantu negeri Kedah ini dan terus maju.

“Kita dah ada Zon Khas Ekonomi Bukit Kayu Hitam yang akan menghasilkan pengeluaran RM5 bilion suatu hari nanti… itu perancangan kita, lepas itu kita nak naiktaraf Lapangan Terbang Alor Setar. Macam-macam lagi kita nak tambah,” ujarnya. – MalaysiaGazette