KWSP
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

KUALA LUMPUR- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melabur sebanyak RM4.86 bilion dalam saham syarikat bermodal kecil sederhana di Malaysia melalui pengurus pelaburan dalaman dan luaran.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, KWSP sentiasa memantau dan menilai prestasi syarikat-syarikat bermodal kecil dan sederhana yang bersesuaian dan memenuhi profil risiko dan pulangan organisasi berkenaan.

Jelasnya, antara kualiti syarikat yang dinilai oleh KWSP termasuk tadbir urus yang baik, struktur kos dan prestasi perniagaan yang memberangsangkan.

“Prestasi pelaburan kami yang baik didorong oleh pelaburan ekuiti. Pelaburan saham kami merangkumi pelbagai sektor, termasuk dalam syarikat bermodal kecil dan sederhana.

“Setakat akhir Disember 2017, kami telah melabur dalam 192 syarikat bermodal kecil dan sederhana dan kami komited untuk mencari lebih banyak syarikat untuk dilabur bagi menambah portfolio sedia ada.

“KWSP telah menjalankan pelaburan bersama dengan syarikat-syarikat bermodal kecil dan sederhana bagi membantu perkembangan mereka kerana kami melihat potensi masa depan mereka yang baik yang juga berupaya memacu perkembangan ekonomi negara selain meningkatkan pendapatan pelaburan KWSP,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Shahril, dana persaraan itu sentiasa terbuka untuk meneroka peluang pelaburan baharu yang boleh memberikan pulangan jangka panjang.

“Memandangkan jumlah dana kami semakin meningkat, kami sentiasa terbuka kepada peluang pelaburan baru yang boleh memberikan pulangan jangka panjang yang mapan,” katanya.

Portfolio ekuiti yang menjadi penyumbang utama kepada pendapatan KWSP merekodkan peningkatan lapan peratus dari RM309.48 bilion pada 2016 kepada RM334.23 bilion pada akhir Disember 2017 sejajar dengan perkembangan positif negara dan prestasi indeks pasaran saham FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang mencapai paras tertinggi dalam sejarah Malaysia,

Menurut Laporan Tahunan 2017 KWSP, jumlah pendapatan pelaburan kasar firma tersebut setakat 31 Disember 2017 sebanyak RM53.14 bilion dan jumlah aset pelaburan RM791.48 bilion dengan pulangan pelaburan (ROI) 7.30 peratus. – MalaysiaGazette