Saloma Link
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tiga kanan) menyempurnakan majlis pecah tanah projek Pembinaan Saloma Link,Jalan Saloma,Kuala Lumpur. Turut hadir sama Pengerusi Pembangunan Kampong Bharu, Datuk Affendi Zahari (kanan) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd Aziz (tiga kiri) di Kawasan Parkir,Belakang Menara Public Bank,Jalan Saloma,Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 26 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR- Tanggapan bahawa orang Melayu tidak mampu untuk membeli hartanah di Kampung Baru, Kuala Lumpur selepas ia dibangunkan adalah salah.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, selama ini sudah ramai orang Melayu yang membeli hartanah-hartanah yang telah dibangunkan di kawasan Kampung Baru.

“Dalam soal orang Melayu tidak mampu membeli hartanah di Kampung Baru, anda kena jelaskan makna orang Melayu.

“Orang Melayu ini bukan semestinya wajib berasal dari Kampung Baru sahaja tetapi di seluruh negara dan ini yang berlaku kepada pangsapuri-pangsapuri yang telah dibina oleh penduduk atau melalui kerjasama dengan pemaju-pemaju bumiputera lain di kawasan tersebut.

“Ada pembeli yang selalu datang ke Kuala Lumpur dan mereka gunakannya sebagai persinggahan. Macam keluarga-keluarga di Malaysia yang membeli apartment di Sydney atau London kerana kerap berulang-alik ke sana,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah Saloma Link di sini hari ini.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, pembangunan mercu tanda seperti Saloma Link adalah perlu untuk menarik minat pelabur seperti syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk terlibat di dalam pembangunan Kampung Baru dan dalam masa yang memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan mampu untuk melaksanakan pembangunan di kawasan tersebut tanpa mengenepikan elemen dan status Melayu yang menjadi identitinya

Saloma Link akan menghubungkan Lorong Raja Muda Musa 3 berhampiran Stesen LRT Kampung Baru dengan Jalan Saloma yang terletak di sisi Menara Public Bank berdekatan Jalan Ampang dan berhadapan dengan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Seni bina berkonsepkan “Sirih Junjung” itu akan merentasi Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

Ia merupakan sebahagian daripada rancangan pembangunan Kampung Baru dalam tempoh 20 tahun.-MalaysiaGazette