Dari kiri: Dr. Ong Kian Ming, Mohd Shafie Ngah, Liew Yuen Keong dan Dennis Wan Jinn Woei menyerahkan borang penamaan calon kerusi Parlimen Bangi.
Dari kiri: Dr. Ong Kian Ming, Mohd Shafie Ngah, Liew Yuen Keong dan Dennis Wan Jinn Woei berjabat tangan selepas menyerahkan borang penamaan calon kerusi Parlimen Bangi.

BANGI – Calon-calon bertanding merebut kerusi Parlimen Bangi mempertaruhkan pegalaman mereka bagi menarik pengundi.

Malah tiga daripada calon yang telah masak dengan asam garam politik sedar bahawa mereka tidak boleh bergantung kepada satu kaum sahaja untk memenangi kerusi Parlimen itu yang mempunyai bilangan pengundi berdaftar teramai, 178,790 orang, berikutan komposisi kaum yang agak seimbang.

Calon Barisan Nasional (BN), Liew Yuen Keong yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan selama tiga penggal (1995 hingga 2008) akan menggunakan pengalaman yang dimilikinya untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat setempat.

Antara yang akan dilakukan ialah membangunkan kawsan tersebut sebagai hab universiti awam dan swasta, menyediakan agensi kerajaan pusat yang memberikan perkhidmatan berkaitan industri kecil dan sederhana (IKS) di kawasan tersebut selain memberi tumpuan kepada perdagangan elektronik.

Liew Yuen Keong
Liew Yuen Keong

“Saya tidak akan berputus asa untuk cari pengundi China, India, dan Melayu,” katanya sambil menambah akan memberi perkhidmatan khidmat ikhlas dengan mudah berjumpa dan dihubungi.

Bagi penyandang kerusi Parlimen Bangi (dahulu dikenali Serdang) dari DAP, Dr. Ong Kian Ming, penduduk boleh menilai perkhidmatan yangg telah beliau curahkan selama lima tahun.

Bagaimanapun, tambah beliau, kini cabaran untuk mempertahankan kerusi itu lebih susah berbanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kerana beliau perlu berhadapan dengan tiga orang pesaing berbanding pertandingan satu lawan satu pada 2013.

Dr. Ong Kian Ming menunjukkan pas Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum memasuki dewan untuk menyerahkan borang penamaan calon.

“Dengan empat penjuru pada 2018 adalah sukar untuk saya mengekalkan majoriti dengan jumlah pengundi yang meningkat dari 133,000 orang kepada 178,000 orang,” katanya.

Katanya, apa yang boleh dilakukan ialah mengharapkan Pakatan Harapan bekerja sebagai satu pasukan dan mendekati dekati pengundi semua kaum dan agama.

“Pengundi di Bangi adalah bercampur dan seimbang, oleh itu tak boleh bergantung kepada satu kaum sahaja,” ujar beliau.

Sementara itu, calon Pas, Mohd Shafie Ngah berkata, beliau akan menggunakan pengalaman sebagai ADUN Bangi (kini dikenali DUN Sungai Ramal) untuk meneruskan perjuangan di Dewan Rakyat.

Menurutnya, pertandingan di Bangi adalah sukar sebab semua calon adalah individu yang hebat dengan semua pihak berpeluang memenangi kerusi tersebut.

Mohd Shafie Ngah
Mohd Shafie Ngah

Ujar Mohd Shafie, beliau akan menarik pengundi bukan Melayu dengan pergi dari rumah ke rumah.

“Kami akan yakinkan mereka Pas tidak besama UMNO,” katanya sambil menambah Pas yang kini tidak lagi menyertai Pakatan Rakyat dapat mengurangkan tekanan untuk menarik pengundi berbanding sebelum ini ketika dengan jentera pilihan raya daripada tiga DUN digerakkan.

Sementara calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dennis Wan Jinn Woei yakin dapat menarik pengundi memandangkan partinya adalah ‘pembangkang tulen’ yang memberi penekanan kepada dasr-dasar kerajaan.

Bangi
Dennis Wan Jinn Woe menyerahkan borang penamaan calon untuk bertanding kerusi Parlimen Bangi.

“BN adalah kerajaan pusat manakala PH adalah kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang. PRM adalah parti yang straight forward kepada dasar. Dasar yang baik akan disokong dan kami bangkang jika dasar itu tak baik,” jelasnya yang juga Setiausaha Pemuda PRM Selangor yang bertanding merebut kerusi DUN Kajang.

Jinn Woei yang pernah bekerja dalam bidang hartanah akan memberi tumpuan terhadap masalah banjir di Kajang jika beliau menang pada PRU14. – MalaysiaGazette.