Gambar Arkib: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa bergambar kenangan bersama kakitangan penjawat awam sambil menunjukkan simbol tangan lima selepas Sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Penjawat Awam turut serta di Dewan Utama, Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 31 MEI 2017

KUALA LUMPUR- Kerajaan telah meluluskan 65,000 peluang pekerjaan baharu dalam perkhidmatan awam tahun ini sejajar dengan evolusi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, penambahan tersebut dibuat selepas menerima permintaan mendesak daripada beberapa jabatan yang memerlukan lebih ramai kakitangan dalam organisasi masing-masing.

“Ini termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, pendidikan serta beberapa lagi agensi penting yang memerlukan pertambahan kakitangan,” katanya selepas menyampaikan Amanat KSN kepada kakitangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Angkasapuri hari ini.

Katanya, penambahan jawatan tersebut sekaligus menafikan dakwaan kerajaan sedang mengecilkan jumlah penjawat awam di negara ini.

Tambahnya, kerajaan juga telah membangunkan dua projek Perumahan Awam 1 Malaysia (PPA1M) di Miri dan Kuching, Sarawak terutamanya kepada kakitangan KKMM dan meminta semua penjawat di kementerian tersebut merebut peluang berkenaan.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan menawarkan kemudahan serupa di semenanjung, Ali berkata, kerajaan bersedia untuk membangunkan PPA1M sekiranya KKMM boleh menyediakan kawasan yang sesuai.

Dalam perutusannya, Ali menyatakan penghargaannya kepada 1.6 juta penjawat awam yang menjadi nadi dan inspirasi kepada perkhidmatan awam dan pendokong kejayaan pelaksanaan dasar kerajaan.

Dengan itu, beliau berharap kesemua penjawat awam patut terus memperbaiki perkhidmatan mereka dengan lebih cemerlang dan meletakkan kepercayaan untuk memastikan kejayaan agenda TN50. – Bernama