Najib Razak

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berpesan kepada kesemua calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) supaya sentiasa mendahulukan rakyat pada musim berkempen ini.

Beliau mengingatkan bahawa segala yang dilakukan itu adalah untuk rakyat semata-mata dan matlamat itu harus didukung, bukan untuk kepentingan peribadi seperti jawatan atau habuan.

Selain itu, Najib yang juga pengerusi BN berkata calon juga harus berpegang kepada agenda utama kempen parti pada kali ini iaitu memberi fokus kepada pembangunan dan ekonomi.

“Dekatilah para pengundi dan berkongsi visi dan misi yang akan diambil BN untuk mensejahterakan mereka dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya dalam catatan terkini di laman blog rasmi beliau www.najibrazak.com hari ini.

Mengetahui impak besar media sosial pada pilihan raya kali ini, beliau juga berharap calon-calon BN akan terus menggunakan platform itu dengan bijak untuk menarik minat sokongan para pengundi.

“Namun, gunakan media sosial anda dengan bijak, dan jangan jadi seperti pembangkang yang sering menyebarkan berita tidak benar dengan #TsunamiPHitnah yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

“Kita (BN) bukan menabur janji manis bermadu seperti pembangkang, sebaliknya kita mampu melaksanakan apa yang dijanjikan,” kata Najib.

Setiap calon termasuk beliau sendiri harus bekerja keras untuk menjemput rakyat jelata bersama BN dalam agenda memperhebatkan Malaysia, katanya.

Najib pada masa yang sama menzahirkan rasa syukur atas proses penamaan calon yang berjalan lancar pada 28 April lepas meskipun ramai muka baharu yang bertanding pada PRU14 ini.

Perdana menteri berkata tiada calon BN yang digugurkan dan semuanya berjaya memenuhi kehendak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana BN telah melakukan persediaan amat rapi dan tidak memandang remeh hal-hal berkaitan pilihan raya.

“Dari situ kita dapat lihat bukan sahaja tahap persediaan tetapi juga kesungguhan untuk memimpin negara oleh BN, berbanding pembangkang yang perkara asas pun belum mampu dilengkapkan.

“Bukan setakat tidak mampu melengkapkan perkara asas, mereka menyalahkan BN, SPR dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula. Sikap ‘playing victim’ ini bukanlah sesuatu yang baharu bagi mereka. Bagaimana hendak mentadbir negara?” soalnya.

Mengulas lanjut mengenai 327 jumlah calon muka baharu BN pada PRU14, katanya angka itu merupakan bukti bahawa parti itu sentiasa membuka peluang kepada muka-muka baharu yang diyakini layak untuk menggalas amanah serta mampu membawa kemenangan untuk BN.

Beliau juga menghargai calon-calon lama yang menerima keputusan parti dengan hati yang terbuka serta memberi peluang dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon baharu dengan semangat BN dan yakin pengorbanan itu akan membawa kejayaan kepada parti komponen tersebut.

BN terus memberi pengiktirafan kepada calon wanita dengan 85 calon wanita dipilih untuk bertanding di 26 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan peranan serta sumbangan wanita dalam perjuangan parti amat besar dan menjadi tulang belakang kepada BN.

“Sebab itu kita menghargai wanita sebagai #RatuHatiNegaraku,” kata perdana menteri.- BERNAMA