Calon Barisan Nasional P.102 Bangi, Datuk Liew Yuen Keong (dua kiri) bersama calon Barisan Nasional N.27 Balakong, Lim Chin Wah (dua kanan) dan jentera Barisan Nasional DUN Balakong pada Sidang Media Krisis Air Selangor dan Tolak Politik Kebencian sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bertempat di Bilik Gerakan PRU14, Kampung Baru Batu 11, Cheras, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 03 MEI 2018.

BALAKONG – Kerajaan Negeri Selangor bukan sahaja gagal menunaikan segala macam janji ‘bulan dan bintang’ sejak 10 tahun memerintah tetapi pada masa yang sama juga telah banyak ‘menyusahkan’ pengundi dengan pelbagai masalah baharu.

Antara masalah yang banyak memberi kesan kepada 560,000 penduduk dan pengusaha industri kecil dan sederhana Balakong terjejas adalah isu air.

Menurut calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bangi, Datuk Liew Yuen Keong, penduduk kerap mengalami gangguan sehingga akhir Mac lalu.

Kata Yuen Keong, masalah yang berlarutan sejak pemerintahan pakatan pembangkang di Selangor menyebabkan rata-rata penduduk semakin bosan.

“Balakong merupakan pusat perusahaan kecil dan sederhana antara yang terbesar di Selangor terkesan kerana operasi mereka sering terganggu. Bayangkan penderitaan yang dilalui oleh penduduk setempat.

“Bukan sahaja tempat tinggal tetapi juga ribuan kilang terjejas kerana gangguan bekalan air. Krisis air yang berlaku di Balakong kerap kali berlaku dan kadangkala ia berpanjangan sehingga seminggu lamanya.

“Tetapi kerajaan PKR akan tuding jari kepada kita kononnya kita menganiya rakyat. Pelik sekali kerana pentadbiran sebenarnya di bawah kuasa mereka.

“Ketika mahu menang negeri Selangor, banyak sangat di janjikan? Jadi mengapa kini anda tidak boleh tadbir urus dengan baik? Jangan terus bohongi rakyat,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Dalam pada itu, Yuen Keong turut melahirkan kebimbangan dengan paras  loji penyimpanan air di Batu 11, Cheras yang menunjukkan tahap penyimpanan air pada kadar sifar.

“Bagaimana ini berlaku dan apakah alternatif yang boleh diberikan oleh kerajaan negeri untuk selesaikan isu ini?

“Sejak 10 tahun kebelakangan ini, masalah air semakin kritikal di seluruh negeri Selangor, malah di Balakong semakin serius sejak 7 tahun ini. Antara kawasan yang begitu terjejas teruk termasuk Balakong Jaya, Bukit Belimbung dan Taman Sg Besi Indah.

“Sehingga kini belum ada jalan penyelesaian, kita masih menunggu. Sudah tiba musim PRU dan sekali lagi mereka akan berjanji dan juga bertindak menghasut serta menuding jari kononnya kita tidak membantu,” tegasnya.

Dalam pada itu, Yuen Keong juga berjanji jika diberikan mandat kepada calon BN, mereka akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi menangani masalah ini.

 

“Beri mandat kepada dan  kepercayaan kepada kita. Kita akan selesaikan isu air di Selangor dengan kadar yang cepat dan tidak bermain ‘tarik tali’ seperti kerajaan negeri PKR ketika ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette