Yaya Toure sah akan meninggalkan Manchester City akhir musim ini. Foto Sky Sports.
Yaya Toure sah akan meninggalkan Manchester City akhir musim ini. Foto Sky Sports.

LONDON – Pemain tengah Manchester City, Yaya Toure sah akan meninggalkan juara Liga Perdana Inggeris itu pada akhir musim ini.

Pemain berusia 34 tahun itu bakal melakukan penampilan terakhir untuk Manchester City dalam perlawanan menentang Brighton pada Rabu depan

Masa depan Toure itu disahkan sendiri oleh pengurus, Pep Guardiola pada sidang media kelab itu semalam.

Toure yang merupakan pemain antarabangsa Ivory Coast yang menyertai City dari Barcelona dengan nilai perpindahan £24 juta pada 2010.

Beliau telah bersetuju menyambung kontrak setahun pada 2017.

Sepanjang bersama City selama lapan musim, Toure telah melakukan 229 penampilan di EPL sahaja.

Sepanjang tempoh itu, pemain itu telah membantu City menjuarai kejuaraan liga sebanyak tiga kali, satu kejuaraan Piala FA, dan dua kejuaraan Piala Liga.

Namun musim ini, Etihad bukan lagi tempat untuk Toure setelah hanya tampil beraksi dalam sembilan perlawanan liga setakat ini.

Toure masih boleh kekal di England kerana kelab seperti Everton, Burnley dan Huddersfield meminati gaya permainannya.

Toure turut boleh mengikut jejak langkah Zlatan Ibrahimovic untuk ke Major League Soccer (MLS) jika mahu menyertai New York City FC, yang turut dimiliki oleh rangkaian niaga Manchester City. – MalaysiaGazette