Othman Aziz

JERLUN – Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz berkata, kenyataan Tan Sri Mokhzani Mahathir tentang penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) jelas menunjukkan sifat angkuhnya.

Beliau berkata, bantuan tersebut yang diperkenalkan pada 2012, merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu golongan B40 melalui pemberian wang tunai secara langsung dan pertama kali dibuat dalam sejarah negara.

“Kita (pemimpin kerajaan) sedar dalam kalangan masyarakat (negara) kita ada tiga segmen iaitu B40 (isi rumah berpendapatan rendah), M40 (isi rumah berpendapatan sederhana), dan T20 (isi rumah berpendapatan agak tinggi).”

“Dan kita sedang menangani secara khusus dan bersasar (membantu) kumpulan B40 dan salah satu perkara paling berkesan sehingga kini ialah BR1M. Pada mereka yang berkemampuan, RM1,200 apa hal, tapi bagi orang perpendapatan rendah ia amat bermakna,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Mokhzani, yang disenaraikan antara orang terkaya di Malaysia merupakan anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam ceramahnya di pentas pembangkang di Felda Sungai Tiang, Pendang, Kedah, Khamis lalu berkata meskipun kerajaan gembira kerana mampu membantu rakyat menerusi BR1M, rakyat sebenarnya lupa bantuan itu menunjukkan mereka tidak mampu menyara kehidupan sendiri.

Kumpulan B40 merujuk kepada isi rumah berpendapatan bulanan bawah RM3,860 manakala M40 adalah kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan RM3,860 hingga RM8,319 manakala T20 kumpulan isi rumah berpendapatan RM8,300 ke atas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast