LANGKAWI – Pakatan Harapan (PH) meraih ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Langkawi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad memenangi kerusi Parlimen Langkawi menerusi majoriti 8,893 undi.
Mantan Perdana Menteri itu mengumpul 18,954 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ir Nawawi Ahmad yang meraih 10,061 undi dan Zubir Ahmad (Pas) yang hanya mencatatkan 5,512 undi.
Pengurus Pilihan Raya Langkawi, Mohd. Arof Darus, berkata sebanyak 604 undi rosak dicatatkan.
Sementara itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah dimenangi calon PH, Mohd Firdaus Ahmad selepas mengumpul 8,276 undi.
Beliau menewaskan tiga calon lain, Nor Saidi Nanyan (BN) – 5,824 undi; Mazlan Ahmad (Pas) 2,685 undi dan calon bebas, Muhammad Ratu Mansor yang sekadar meraih 86 undi.
Sebanyak 353 undi rosak dicatatkan.
Manakala, DUN Ayer Hangat turut ditawan PH menerusi Johari Bulat yang meraih 7,550 undi menewaskan dua calon lain, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid (BN) – 6,018 undi dan Azlina Azinan (PAS) yang mengumpul 4,034 undi.
Sebanyak 305 undi rosak dicatatkan. – MalaysiaGazette