Pengerusi Pakatan Harapan merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Mahathir Mohamad menunjukkan surat yang bertanda tangan sokongan ahli parlimen terhadap beliau sebagai Perdana Menteri pada sidang media Pakatan Harapan bertempat di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 10 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong telah menemui beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk mendapatkan pandangan mereka berhubung pelantikan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7.

Mereka terdiri Datuk Seri Wan Azizah, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu di Istana Negara pada pukul 5 petang tadi.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab. Aziz,Pengelola Bijaya Diraja.

Sultan Muhammad V telah menemubual dan mendengar pandangan mereka selepas menerima sepucuk surat yang menyokong pelantikan Dr Mahathir daripada ahli-ahli komponen PH pada pukul 1.38 petang.

Istana Negara juga telah menerima keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Ke-14 daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pukul 2.45 petang tadi.

“Selepas menemubual dan mendengar pelbagai pandangan, baginda telah meminta Dr Mahathir membentuk Kerajaan Persekutuan mengikut Artikel 43 (2a) Perlembagaan Persekutuan.

Dr Mahathir dijadual mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada pukul 9.30 malam ini.

Wan Ahmad menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Yang di-Pertuan Agong menangguhkan pelantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Sultan Muhammad V melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya mengikut Perlembagaan Persekutuan dalam pelantikan perdana menteri.

Malah, baginda menyokong dan menghormati proses demokrasi.

Sultan Muhammad V akan bekerjasama dengan Dr Mahathir dan pentadbirannya untuk negara dan rakyat. – MalaysiaGazette