Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin

JOHOR BAHRU – Bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merakamkan penghargaan dan terima kasih terhadap semua pihak atas sokongan sepanjang lima tahun diberi mandat menerajui kerajaan negeri.

Mohamed Khaled menerusi kenyataan berkata beliau berharap sokongan yang sama atau lebih baik lagi akan turut diberikan semua pihak khususnya rakyat Johor kepada pasukan kerajaan negeri yang baharu.

“Sepanjang lima tahun lepas, saya telah diberi mandat menerajui pasukan kerajaan negeri Johor. Penggal tersebut tidak akan membuahkan kejayaan dan pelbagai pencapaian yang besar tanpa komitmen, kerjasama dan sumbangan semua Bangsa Johor,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor berkata beliau yakin, tidak kira dalam sektor apa sekalipun, semua Bangsa Johor atas kapasiti dan fungsi masing-masing telah membantu dan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada beliau dan kerajaan negeri di bawah kepimpinannya.

Katanya atas sokongan tersebut pelbagai inisiatif diusahakan kerajaan negeri berjaya dilaksanakan dengan lancar dan mengikut perancangan.- BERNAMA