Bekas Pengarah Risikan dan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Idris bercakap kepada media semasa hadir bagi membuat laporan SPRM berhubung salah guna kuasa Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pejabat SPRM, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Satu laporan akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meminta satu siasatan dijalankan ke atas Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Bekas Pengarah Risikan dan Siasatan SPRM, Datuk Abdul Razak Idris berkata, laporan dibuat berkaitan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar pejabat SPRM Kuala Lumpur, dekat sini, hari ini.

Abdul Razak berkata, laporan hari ini dibuat mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, Seksyen 23 membabitkan salah guna kuasa Mohd Najib sebagai Perdana Menteri daripada tindakan undang-undang termasuk menghalang pasukan khas iaitu SPRM dan Timbalan Pendakwa Raya menjalankan siasatan.

Manakala, di bawah Seksyen 36, yang mana berpandukan siasatan itu, pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya diberi kuasa dan wajib meminta Mohd Najib mengisytiharkan harta sam ada alih atau tidak, dalam atau luar negara.

Ini termasuk juga kepada isteri, anak dan orang perseorangan yang disyaki memiliki hartanya supaya mengisytiharkan harta berkaitan Mohd Najib.

Pada masa sama, institasi kewangan atau bank juga dikehendaki memberi maklumat berkaitan dengan harta berlebihan yang perlu dijelaskan Mohd Najib.

Seandainya bekas Perdana Menteri itu gagal berbuat demikian, ia menjadi satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan denda dengan lima kali nilai harta yang disifatkan sebagai harta tidak dapat dijelaskan.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan SPRM untuk mengambil tindakan di bawah Seksyen 217 dan 218 Kanun Keseksaan berkaitan penjawat awam yang ingkar arahan undang-undang dengan niat menyelamatkan seseorang daripada hukuman atau pelucutan harta. – MalaysiaGazette