KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mukhriz Mahathir memulakan tugasnya sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu hari ini.
Beliau memasuki bangunan Wisma Darul Aman dan mengetik kad perakam waktu kira-kira jam 8 pagi.
Mukhriz pernah dilantik sebagai Menteri Besar pada 6 Mei 2013 selepas Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Bagaimanapun, berlaku pergolakan politik pada akhir tahun 2015, yang memaksa beliau meletakkan jawatan itu berkuatkuasa serta merta pada 3 Februari 2016.
Tempatnya diganti Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, ketika itu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Rabu lalu, Mukhriz yang bertanding di Parlimen Jerlun dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) memenangi kedua-dua kerusi itu.
Di Parlimen Jerlun, beliau mendapat 18,695 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Othman Aziz yang memperoleh 12,413 undi, dan calon Pas, Abd Ghani Ahmad mendapat 12,829 undi.
Manakala di kerusi DUN Jitra, Mukhriz yang juga Naib Pengerusi PPBM, mendapat 18,852 undi, mengalahkan calon BN, Aminuddin Omar (8,003) dan calon Pas, Zulhasmi Osman (7,064).
Beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah di hadapan Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah kira-kira jam 4 petang Jumaat lalu, sekali gus memimpin pembentukan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) untuk penggal PRU14. – MalaysiaGazette
















