KUALA LUMPUR – Sepanjang tempoh 2009 hingga 2015, beberapa keputusan penting dalam nilai pelaburan tinggi yang dibuat melalui resolusi Lembaga Pengarah 1MDB tanpa perbincangan dan penilaian secara terperinci.

Malah, beberapa pertimbangan berhubung pelaburan dibuat dalam tempoh singkat dan berisiko tinggi.

Ia merupakan dapatan tadbir urus korporat dan kawalan dalaman yang dilakukan oleh Jabatan Audit Negara dalam Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah dijadikan dokumen terbuka.

1MDB juga telah membentangkan maklumat yang tidak lengkap dan tidak tepat kepada Lembaga Pengaran 1MDB sebelum sesuatu keputusan penting dibuat, malah telah mengambil tindakan tanpa kelulusan Lembaga Pengarah 1MDB.

“Terdapat juga keadaan di mana pengurusan 1MDB memberikan maklumat yang tidak tepat atau berbeza kepada pihak yang berkepentingan,” menurut laporan tersebut.

Pengurusan 1MDB mengambil tindakan yang bertentangan mengikut dan tanpa mengikut sepenuhnya keputusan Lembaga Pengarah/pemegang saham dalam beberapa peristiwa berkaitan pelaburan.

Malah, pengurusan penyelenggaraan fail dan rekod 1MDB adalah tidak sistematik dan kurang memuaskan.

Jabatan Audit Negara berkata, secara keseluruhan aspek tadbir urus korporat dan kawalan dalaman Kumpulan 1MDB kurang memuaskan. – MalaysiaGazette