Timbalan Presiden PERKASA, Datuk Sirajuddin Salleh (tiga kiri) dan Naib Presiden PERKASA, Datuk Ruhanie Ahmad (tiga kanan) bersama barisan kepimpinan PERKASA berbincang sesuatu pada sidang media mengenai perletakan jawatan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali di Pejabat PERKASA, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 16 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Pemangku Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ruhanie Ahmad mendesak kerajaan supaya menarik balik pelantikan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

Malah pertubuhan itu mendesak agar kerajaan menamakan Menteri Kewangan dalam kalangan orang Melayu dan bumiputera bagi memastikan pembangunan sosioekonomi orang Melayu dan bumiputera terjamin pada masa depan.

“Kita tidak mahu bukan Melayu mengisi portfolio Menteri Kewangan jadi terserah kepada sesiapa sahaja yang jadi Menteri Kewangan.

“Perkasa menentang bukan Melayu diletakkan sebagai Menteri Kewangan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat pertubuhan itu hari ini.

Ruhanie kini memegang jawatan pemangku Presiden Perkasa apabila Datuk Ibrahim Ali bertindak meletakkan jawatan selaku Presiden Perkasa semalam.

Mengulas lanjut, Ruhanie berkata, pada masa ini keputusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menamakan Guan Eng selaku Menteri Kewangan dikhuatiri akan memberi kesan kepada kesejahteraan sosioekonomi bumiputera.

“Sekiranya diletakkan bukan Melayu, kami bimbang agenda Malaysian Malaysia akan diterapkan dalam dasar dan polisi Kementerian Kewangan dan saya rasa ini menjadikan masa depan sosioekonomi Bumiputera terancam,” katanya lagi.

Mahathir pada Ahad lalu mengumumkan Guan Eng akan memegang portfolio Menteri Kewangan setelah PH merampas kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) pada 9 Mei lalu.

Bagaimanapun, sehari selepas itu Mahathir membuat kenyataan bahawa keputusan untuk melantik Guan Eng sebagai Menteri Kewangan masih belum muktamad dan perlu bersih daripada sebarang pertuduhan. – MalaysiaGazette