Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien

KUALA LUMPUR – “Selagi saya masih bernafas dan waras, saya akan mengerah seluruh kudrat dan kemampuan yang saya ada untuk membantu parti kita ini kembali ke landasan perjuangannya yang sebenar.”

Itu tekad Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menurut beliau, berita kekalahan Barisan Nasional dan UMNO dalam PRU-14 sudah seminggu berlalu dan kini meniti episod perjuangan yang baharu.

“Medan perjuangan yang tidak sama seperti dahulu dan realiti ini harus kita hadapi dengan tabah, bersatu-padu dan penuh tekad.

“Walau apa pun, kita harus redha dan akur dengan ketentuan-Nya.

“Tewas bukanlah bermaksud pengakhiran kepada segalanya. Ketewasan ini menuntut kita untuk bangkit, melangkah ke hadapan dengan lebih bermaruah supaya kita dapat menebus dan menginsafi kesilapan lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Hishammuddin, di sebalik dugaan, ia juga memberikan kita peluang untuk melihat sendiri wajah sebenar siapa kawan, siapa lawan, siapa musang berbulu ayam.

Yang kekal bersama, itulah pejuang sebenar yang sudi mengangkat perjuangan ini kembali ke tempat asalnya, katanya.

“Maka, di atas kesedaran dan keinsafan inilah, kita tidak boleh sesekali mengalah dan menyerah.

“Sebaliknya, kita harus bertekad untuk bangkit dan bergerak ke depan demi memulihkan parti yang kita cintai. Dalam usaha pemulihan ini, harus kita gunakan segenap ruang dan peluang, bermula dengan perkara paling asas iaitu pergerakan di peringkat akar umbi,” katanya.

Justeru, katanya, mesyuarat peringkat cawangan akan bermula tidak lama lagi dan inilah peluang yang terbaik untuk memperbetulkan tekad perjuangan UMNO.

“Gunakanlah ruang dan kesempatan dalam mesyuarat tersebut dengan sebaiknya. Yang lebih penting, mesyuarat tersebut bukanlah tempat untuk kita berhentakkan, menuding jari dan bergaduh sesama sendiri.

“Sebaliknya ia merupakan ruang untuk kita muhasabah dan perbaiki setiap kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri masing-masing. Rapatkan barisan dan binalah kembali kepercayaan antara satu sama lain,” ujarnya.- MalaysiaGazette