Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam bersama isterinya hadir untuk melawat Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 MEI 2018
Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam bersama isterinya hadir untuk melawat Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Tidak ada jalan lain buat UMNO selain kena mengukuhkan rumah tangga dalam parti kerana kini sudah menjadi pembangkang, kata Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Lantaran itu, beliau menyuarakan sokongan kepada pucuk pimpinan yang dilantik untuk memangku pentadbiran tertinggi parti susulan pengunduran Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden UMNO baru-baru ini.

“Saya, UMNO negeri, kita menyokong Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai timbalan dan Khairy Jamaluddin sebagai Naib Presiden.

“Kita perlukan parti lebih kuat dan mantap supaya parti bertambah kuat dalam menghadapi cabaran sekarang… UMNO sudah jadi parti pembangkang.

“Kita kena faham kita berada di pihak pembangkang dan kita perlu kukuhkan rumah tangga kita,” kata beliau semasa ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid dan Hishammuddin di pejabat UMNO di sini hari ini.

Mohd. Ali juga mencadangkan agar tiga jawatan utama tersebut tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti nanti demi memastikan pemulihan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Kena bagi sokongan kuat pada mereka, supaya UMNO ini ada nakhoda.

“Sekarang gerak ke depan, mudah-mudahan UMNO boleh dipulihkan semula,” katanya lagi.

Mohd. Ali sebelum itu melawat Datuk Seri Najib Razak di kediaman bekas Perdana Menteri itu di Taman Duta bersama Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermienyanti Shamsuddin.  – MalaysiaGazette