Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas bersama Presiden Persatuan Patriot Kebangasaan, Brigadier Jeneral (B) Datuk Mohamad Arshad Raji, Ahli Majlis Tertinggi MyPPP dan ahli MyPPP pada Perhimpunan Agung MyPPP Ke-65 2018 bertempat di The Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 27 MEI 2018.
Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas bersama Presiden Persatuan Patriot Kebangasaan, Brigadier Jeneral (B) Datuk Mohamad Arshad Raji, Ahli Majlis Tertinggi MyPPP dan ahli MyPPP pada Perhimpunan Agung MyPPP Ke-65 2018 bertempat di The Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 27 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Parti pelbagai kaum, myPPP bukan sekadar keluar daripada komponen Barisan Nasional (BN) kerana kekalahan teruk pada PRU-14 sebaliknya sudah muak dan letih diperlakukan seperti bola.

Menurut Presiden myPPP, Tan Sri M. Kayveas, kesetiaan beliau dan parti itu seolah-olah hanya di pandang sepi oleh kepimpinan tertinggi BN.

Jelas beliau, antara contoh yang menyebabkan kesabaran itu hilang had apabila pemberian kerusi pada PRU-14 lepas yang pada awalnya BN lantang bercakap tentang winnable candidate namun akhirnya meletakan calon sesuka hati tanpa melihat kepentingan masa depan komponen.

“Mereka rasa mereka betul, mereka rasa mereka boleh berbuat apa sahaja dan rakyat akan berterusan bertolak ansur. Hakikatnya, apa yang myPPP dapat selama ini walaupun setia dalam memperjuangkan perjuangan kerajaan BN?

“Selepas zaman Tun Mahathir (Mohamad) memerintah sebagai Perdana Menteri ke-4, myPPP seolah-olah sudah lenyap kerana setiap kali menjelangnya PRU, kerusi selamat kami akan diberikan kepada orang lain dengan alasan ia adalah kerusi tradisi.

“Yang berikan peluang dan mendengar isi hati kami selain mengiktiraf kesetiaan kami adalah Tun Mahathir sendiri. Jangan fikir saya sedang ampu, sebelum PRU lagi, kami telah memberikan keputusan muktamad untuk keluar BN seandainya kami terus diperlakukan seperti ‘bola’.

“Bukan sahaja suara kami tidak didengar malah kerusi yang paling sukar untuk dimenangi ketika itu senang-senang diberikan kepada kami kerana calon ‘kuat’ dari parti lain tidak sanggup bertanding di kubu DAP. Jika itu bukan buli apa namanya? Mana maruah kami? Kerana itu ketika itu lagi saya sudah putuskan untuk keluar dari komponen. Kami muak dan bosan.

“Oleh kerana saya lantang dan berada pada paksi yang betul, adalah segelintir pemimpin dalam BN terutamanya (Datuk Seri) Tengku Adnan (Tengku Mansor) mempergunakan pula beberapa ahli myPPP untuk menggulingkan saya.

“Kerana sayang dan setia kepada myPPP, BN dan Perdana Menteri, saya akur sahaja. Saya buat keputusan letak jawatan tetapi lain pula agenda mereka.

“Kumpulan yang ‘gila kuasa dan duit’ ini pula bertindak menyingkirkan saya terus dari parti, saya di pecat keanggotaan. Apa yang saya buat sehingga melakukan sedemikian? Bagaimanapun, semua ini tidak sah, kita ada undang-undang dan perlembagan parti yang perlu dipatuhi,” katanya.

Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas berucap pada Perhimpunan Agung MyPPP Ke-65 yang dirasmikan oleh Presiden Persatuan Patriot Kebangasaan, Brigadier Jeneral (B) Datuk Mohamad Arshad Raji bertempat di The Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 27 MEI 2018.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan yang ke-65 sebentar tadi yang di rasmikan oleh Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Brigadier Jeneral (B), Datuk Mohamed Arshad Raji.

Seramai lebih 1500 perwakilan seluruh negara hadir menyatakan sokongan kepada Kayveas sebagai Presiden myPPP hari ini.

Tambah Kayveas, tidak timbul persoalan siapakah sebenarnya Presiden myPPP kerana Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah memberikan mandat kepada beliau selaku presiden untuk terus meneraju parti tersebut.

“RoS telah berikan surat pengiktirafan saya adalah Presiden myPPP yang sah dan AGM yang diadakan hari ini juga sah di sisi undang-undang seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Apa yang berlaku semalam, AGM dan pelantikan Presiden adalah tidak sah dan haram.

“Malah kesemua 13 anggota dan kepimpinan tertinggi myPPP itu telah dilucutkan keanggotaan mereka mengikut lunas undang-undang parti. Seandainya mereka tidak berpuas hati, saya mohon kepada mereka untuk berjumpa saya di mahkamah. Ketika ini, kerajaan sendiri telah mengiktiraf saya.

“Saya juga mohon kepada pihak media untuk bantu menyiarkan berita yang betul dan tidak mendengar sebelah pihak sahaja. Minta mereka tunjuk surat dari RoS, apa sahaja dakwaan-dakwaaan mereka itu juga perlu perlukan bukti kukuh. Minta mereka tunjuk. Ini bukan cerita koboi, boleh sesuka hati,” tegasnya.

Dalam pada itu, Kayveas turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan sekumpulan pemimpin baru dalam parti itu yang begitu kemaruk kuasa sehingga sanggup ‘menghancurkan’ parti kerana cita-cita mereka.

“Saya tidak sangka, orang-orang yang saya ‘kutip’ tepi jalan dan kelab malam serta bantu mereka naik dalam karier politik sehingga menjadi timbalan menteri selain mendapat pelbagai gelaran serta pangkat ini sebenarnya ‘duri dalam daging’.

“Mereka ini jugalah yang akhirnya bukan sahaja menunjukkan warna sebenar mereka malah apa yang saya kesalkan adalah bagaimana mereka sanggup membawa parti ini ke era kehancuran. Ini adalah parti yang saya kemudi hampir 25 tahun. Saya tidak akan sesekali biarkan ianya hilang begitu sahaja. Yang perlu pergi adalah anda semua.

“Kepada yang setia terutamanya yang telah meninggalkan parti untuk sekian lama, yang juga telah di pecat walaupun setelah mengharungi pelbagai cabaran sejak 1973 sehingga 1993, kini semua orang-orang kembali ke pangkuan parti ketika kami sedang berdepan dengan krisis. Ini adalah perjuangan sebenar. Ini adalah pejuang demi dan untuk rakyat.

“Tun Mahathir sendiri pernah menasihati saya untuk tinggalkan myPPP dan sertai MIC yang ketika itu sedang meningkat naik, saya tolak dan terus bersama-sama melalui saat getir dan penuh mencabar ketika itu lagi. Mana mungkin saya biarkan parti ini lenyap begitu sahaja? Kami keluar BN kerana banyak perkara serta keperluan rakyat di pandang remeh, kami sokong kerajaan PH tetapi ketika ini kami mahu kekal bebas,” ujarnya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast