Taman Tenaga Hibrid Amazon akan dibina di Rompin, Pahang bermula suku ketiga tahun ini.
Taman Tenaga Hibrid Amazon akan dibina di Rompin, Pahang bermula suku ketiga tahun ini.

KUALA LUMPUR – Amazon Battery Sdn. Bhd. (Amazon Battery) bakal melabur sebanyak RM20 juta untuk fasa pertama memasang mesin tenaga hibrid yang dikenali sebagai Taman Tenaga Hibrid Amazon di Pahang.

Pengerusi Eksekutif Amazon Battery, Dr. J. Thanabalan berkata, pemasangan mesin tersebut akan dijalankan menerusi projek percubaan di tapak tanah pertanian seluas dua hektar di Rompin.

Menurutnya, projek perintis pertama di negara ini akan melibatkan sebanyak 50 mesin tenaga hibrid yang diimport dari Jerman dengan kerja pemasangan dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.

Jelasnya, kos keseluruhan memajukan Taman Tenaga Hibrid Amazon itu yang melibatkan kawasan seluar 2,000 ekar mencecah RM1.1 bilion menerusi dana swasta dari luar negara.

“Amazon Battery yakin untuk menjadi perintis dalam industri tenaga hibrid di Malaysia yang dihasilkan daripada tiga sumber semulajadi yang terdiri daripada kadar kelajuan angin, pancaran sinar matahari dan juga tekanan graviti.

Pengerusi Eksekutif Amazon Battery, Dr. J. Thanabalan.

“Teknologi mesin ini dibawa masuk dari Jerman merupakan yang pertama diperkenalkan di negara ini malah di rantau Asia dengan tujuan untuk memberi alternatif kepada industri dalam penjanaan tenaga elektrik.

“Tenaga eletrik itu akan dihasilkan daripada sebuah mesin tenaga itu yang mampu menjana tenaga elektrik sebanyak 14.5 kilowatt (KW) per jam,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Urusan, Amazon Battery, Bo Yik Khoon.

Amazon Battery merupakan pengedar bateri untuk pelbagai jenis automotif di negara ini sejak 25 tahun lalu.

Thanabalan menjelaskan, menerusi projek percubaan, pihaknya yakin mampu meningkatkan keyakinan kepada usahawan untuk terlibat dalam pelaburan ini dan juga syarikat boleh menjana tenaga elektrik dan menjualnya semula kepada Tenaga Nasional Bhd..

Tambah beliau, selain tanah tersebut dipasang dengan mesin berkenaan, ia juga boleh digunakan untuk bidang pertanian dalam usahawan meningkatkan daya saing kepada kawasan projek itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast