ROM – Chelsea dipercayai telah mencapai perjanjian bersama Laurent Blanc untuk menggantikan Antonio Conte sebagai pengurus baharu pasukan itu.
The Blues dalam perbincangan mengenalpasti beberapa calon pengurus baharu yang paling layak termasuk Maurizio Sarri dari Napoli dan bos Fulham, Slavisa Jokanovic.
Namun kelab itu semakin hampir untuk memuktamadkan pelantikan Blanc.
Pengurus warga Perancis itu tidak mengemudi mana-mana kelab sejak meninggalkan Paris Saint Germain pada 2016.
Kini Blanc dikatakan sudah bersedia untuk memulakan tugasnya sebagai Pengurus Chelsea yang baharu.
Sports Italia mendakwa Chelsea dan Blanc mencapai persetujuan dari segi terma pelantikan tetapi menangguhkan proses pengumuman secara rasmi pelantikan itu.
Chelsea difahamkan masih menunggu untuk melihat jika Sarri boleh meninggalkan peranannya sebagai Jurulatih Napoli berikutan ketegangan berlaku antara Sarri dan bekas kelabnya itu.
Napoli difahamkan tidak mahu melepaskan klausa perjanjian bersama Sarri walaupun sudah mengesahkan pelantikan Carlo Ancelotti sebagai Ketua Jurulatih yang baharu.
Malah, usaha Blanc yang sedang mencari penolong jurulatihnya dikatakan antara punca pengumumannya secara rasmi masih tertangguh.
Blanc meminta Chelsea membawa masuk orang kanannya Jean-Luis Gasset ke Stamford Bridge tetapi Gasset membuat keputusan untuk kekal di PSG.
Chelsea kini memujuk Frank Passi seperti yang diarahkan Blanc dan masih dalam proses berunding bersama bekas jurulatih Lille dan Marseille.
kehadiran Blanc akan menyaksikan pengunduran Conte selepas hanya dua musim bertugas di Stamford Bridge.
Conte berjaya menjulang Piala EPL dalam musim pertamanya bersama Chelsea dan piala FA 20 April lalu. – MalaysiaGazette
















