Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Seramai 112,635 peneroka Felda di seluruh negara akan menerima insentif Hari Raya Aidilfitri 2018 sebanyak RM450 setiap peneroka mulai 12 Jun ini.

Insentif tersebut membabitkan peruntukan sebanyak RM50.68 juta yang akan disalurkan kepada Felda menerusi Jabatan Perdana Menteri.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bagi peneroka yang mempunyai akaun dengan Felda, insentif itu akan terus dikreditkan kepada mereka manakala bagi yang tidak mempunyai akaun, pembayaran akan dibuat secara tunai oleh pengurusan rancangan Felda masing-masing.

“Pembayaran ini tidak termasuk dalam pembayaran Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR – yang dahulunya dikenali sebagai BR1M) yang akan dibayar secara berasingan,” katanya dalam satu kenyataan sambil menambah kerajaan telah mula menyalurkan RM1.6 billion kepada hampir 4.1 juta penerima BSHR mulai 6 Jun lalu.

Pada Rabu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Kerajaan bersetuju supaya insentif Hari Raya Aidilfitri 2018 dibayar pada kadar RM450 bagi setiap peneroka Felda.

Menurut Guan Eng, insentif tersebut menunjukkan penghargaan kerjaaan terhadap sumbangan peneroka Felda dalam pertumbuhan ekonomi negara.

“Semoga pemberian insentif ini dapat membantu persediaan Aidilfitri para peneroka Felda di seluruh negara,” tambah beliau. – MalaysiaGazette.