Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Majlis Raja-Raja diminta meneliti semula cadangan penubuhan Majlis Ukhuwah Islamiah Negara (MUIN) bagi melindungi dan mempertahankan institusi diraja di negara ini.

Bekas Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) , Datuk Ibrahim Ali berkata, penubuhan badan berkaitan institusi itu perlu kerana ia akan menjadi benteng dalam mempertahankan institusi beraja dan agama Islam.

“MUIN yang diwakili semua badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Melayu serta akan menjadi benteng kepada Islam, orang Melayu dan lebih penting bagi mempertahankan Raja-Raja Melayu.

“Perkasa juga mencadangkan MUIN diletak dan diwujudkan dengan restu Majlis Raja-Raja dan sekretariatnya di bawah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,” katanya dalam Majlis Berbuka Puasa dengan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan ahli-ahli Perkasa di Kelab Sultan Sulaiman sebentar tadi.

Pertubuhan itu sebelum ini pernah mencadangkan penubuhan MUIN yang diserahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad pada 6 Oktober 2016.

Bagaimanapun tiada apa-apa maklum balas mengenai cadangan itu.

Katanya lagi, penubuhan MUIN dapat memastikan suara-suara sumbang yang mempertikaikan keistimewaan orang Melayu dan institusi diraja dapat dibendung sepenuhnya.

“Kalau Majlis Raja-Raja sedia buka ruang untuk didampingi orang Melayu dan Islam, saya percaya institusi raja akan lebih mantap dan kita pula boleh memainkan peranan dengan berkesan, tidak lagi jadi seperti anjing menyalak bukit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette