KUALA LUMPUR – Yayasan Artis 1Malaysia telah ditukar nama kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) pada 5 Jun lepas selaras dengan misi, visi dan agendanya untuk membela dan menjaga kebajikan artis.
Pengerusi YKAT, Datuk Irwan Shah Abdullah atau lebih dikenali sebagai DJ Dave berkata, yayasan itu akan terus membela nasib artis yang terdiri daripada penyanyi, pemuzik dan pelakon tanpa mengira bangsa dan agama terutama artis veteran.
Katanya, sejak ditubuhkan pada 2012, yayasan itu telah membantu lebih 1,000 orang artis termasuk di Sabah dan Sarawak yang ditimpa kesusahan seperti sakit, kemalangan serta waris artis yang telah meninggal dunia.
“Kami juga memerlukan sokongan kerajaan yang baharu bagi membantu visi dan misi YKAT dalam memberi bantuan kepada artis-artis yang memerlukan. Kami juga berharap artis-artis muda turut membantu yayasan ini,” katanya pada sidang media baru-baru ini.
Sementara itu, YKAT akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat untuk mengumpul dana melalui penganjuran kejohanan badminton dan malam gala pada 14 dan 15 Julai ini.
Sumbangan tersebut akan disalurkan kepada Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Untuk maklumat lanjut mengenai kejohanan badminton dan malam gala itu, orang ramai boleh melayari www.ykat.org/gaccb atau hubungi Spastic Children Association di talian 03-79582393. – MalaysiaGazette