Anthony
Anthony Loke. foto HAZROL ZAINAL, 12 JUN 2018.

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan membatalkan serta-merta kontrak perkhidmatan kepada sebuah syarikat swasta yang menjalankan kerja-kerja mempromosi bekas menteri di kementerian itu sebelum ini.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau menerima makluman mengenai perkara itu selepas mendengar taklimat daripada Bahagian Pentadbiran dan Kewangan di kementeriannya.

Katanya, syarikat berkenaan berperanan menerbitkan kolum yang disiarkan di sebuah akhbar berbahasa Inggeris dengan terbitan sekali seminggu.

“Minggu lepas saya telah diberikan taklimat oleh Bahagian Pentadbiran dan Kewangan kementerian. Saya dapati ada satu peruntukkan diluluskan kementerian sebanyak RM800,000 bermula Januari lalu.

“Menteri dahulu ada satu kolum, rupanya nilai kolum itu (dibayar) RM800,000 untuk tempoh tujuh bulan dan ini kerja bahagian perhubungan awam,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Loke, peruntukan yang diluluskan itu diserah kepada Pertubuhan Pemandu untuk mengendalikan dan kolum itu disiarkan di akhbar The Star.

Katanya, perkara tersebut jelas sekali menunjukkan bahawa kerajaan terdahulu telah melakukan banyak perkara yang tidak perlu, membabitkan wang kementerian.

“Saya telah arahkan supaya bayaran tidak lagi dibuat kepada syarikat berkenaan.

“Saya tak perlu syarikat komunikasi seperti itu untuk naikkan imej saya. Lebih baik kita gunakan wang itu untuk menabung.

“Saya ada buat PC (sidang media) setiap hari dan ini percuma tak perlu bayar kepada mana-mana syarikat PR untuk bantu menteri berkomunikasi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast