Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa memberi penjelasan tentang urusan penjualan tanah di Taman Wahyu di sini pada harga bawah nilai pasaran kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan UMNO.
Ali Hamsa
KUALA LUMPUR – Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa memberi penjelasan tentang urusan penjualan tanah di Taman Wahyu di sini pada harga bawah nilai pasaran kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan UMNO.

Bercakap kepada pemberita di Kolam Takungan Banjir Jinjang di sini, Lim berkata tanah seluas 35.2 hektar (80 ekar) itu dijual kepada Maqamad Sdn Bhd (dulu dikenali sebagai Sun & Son Sdn Bhd) pada harga RM68 kaki persegi pada 20 Nov 2015, sedangkan nilai pasaran ketika itu ialah sekurang-kurangnya RM250 kaki persegi.

“Kami mahu penjelasan daripada Ali kerana Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terletak di bawah bidang kuasa beliau.

“Selain itu, kita semua tahu bahawa Ali adalah penjawat awam, jadi beliau perlu memberitahu kita siapakah yang meluluskan penjualan itu,” katanya sambil menjelaskan bahawa beliau juga akan bertanya secara rasmi kepada KSN tentang perkara itu selepas Aidilfitri.

Lim berkata dalam borang 5A bertarikh 20 Nov 2015 dan dialamatkan kepada Maqamad, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan menyatakan premium bagi tanah berkenaan ialah RM237 juta.

Katanya, ketika Maqamad belum menjelaskan sepenuhnya bayaran premium itu, syarikat berkenaan menjual tanah berkenaan kepada sebuah syarikat pemaju berpejabat di Sarawak, Perdana Park City Sdn Bhd.

Menurut laporan pada April tahun ini, Perdana Park berganding bahu dengan syarikat China, Country Garden Holdings Co Ltd untuk melaksanakan projek pembangunan komersial bercampur di atas tanah berkenaan dengan membina hotel, pejabat, tempat letak kenderaan, pusat beli-belah, projek sambungan dan pangsapuri.

Lim berkata projek itu akan menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas dan banjir di kawasan berkenaan, sedangkan kolam takungan sepatutnya dibina bagi mengurangkan banjir.

— BERNAMA