KULAI – Tular rakaman video memaparkan seorang remaja perempuan dipercayai menjadi mangsa rogol penjaga sebuah pusat jagaan anak yatim swasta di Taman Mas, di sini, didera.
Rakaman video berdurasi 56 saat itu dipercayai tular dalam Facebook dan TikTok, memaparkan seorang lelaki memukul kanak-kanak perempuan dengan pembaris kayu panjang.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya mengesan video berkenaan yang telah mendapat perhatian umum.
Beliau pada masa sama mengesahkan menerima laporan berhubung insiden memukul kanak-kanak perempuan itu dengan rotan pukul 10.29 malam tadi.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah jagaan anak yatim swasta di Taman Mas, Kulai membabitkan mangsa berusia 10 tahun yang juga penghuni rumah jagaan itu.
“Mangsa telah dipukul oleh lelaki tempatan berusia 59 tahun yang juga penjaga rumah anak yatim tersebut pada Oktober lalu.
“Suspek sebelum ini telah ditahan pada 30 November lalu bersabit kes rogol dan masih dalam tahanan reman sehingga esok,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.
Pada 6 Disember lalu, beliau dilaporkan berkata, penjaga rumah anak yatim itu ditahan bagi membantu siasatan kes rogol remaja perempuan berusia 17 tahun yang juga penghuni rumah anak yatim terbabit.
Katanya, lelaki itu ditahan susulan laporan diterima pihaknya pada 29 November lalu, mangsa disyaki dirogol antara 2020 hingga 2022 ketika mangsa berusia 13 hingga 15 tahun.- MalaysiaGazette
















