Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek negeri, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, beliau, yang mengetuai pasukan peguam itu, berjaya menemukan dokumen-dokumen yang boleh dijadikan bahan bukti mengenai hak Sarawak.
Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali

KUCHING – Kerajaan Sarawak akan mempertahankan haknya atas sumber minyak dan gas aslinya termasuk menggunakan dokumen yang diperoleh dari London tahun lepas oleh pasukan mencari dan meneliti rujukan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek negeri, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, beliau, yang mengetuai pasukan peguam itu, berjaya menemukan dokumen-dokumen yang boleh dijadikan bahan bukti mengenai hak Sarawak.

“Semua salinan dokumen sahih dari London yang diperakui sah itu akan digunakan untuk bantu sebagai bukti apabila diperlukan di mahkamah nanti,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitrinya, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persediaan Sarawak menghadapi tindakan Petronas mahu mendapatkan deklarasi Mahkamah Persekutuan mengenai isu pemilikan sumber termasuk Sarawak di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA).

Mengulas lanjut, Sharifah Hasidah, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, berkata secara dasarnya Sarawak sudah bersedia untuk mempertahankan hak negeri di mahkamah nanti.

Beliau berkata Peguam Besar Sarawak, Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid akan mengetuai pasukan Jabatan Peguam Negara (SAG) Negeri Sarawak berhubung permohonan Petronas itu.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 21 Jun ini untuk mendengar permohonan Petronas untuk memulakan prosiding terhadap kerajaan negeri Sarawak di bawah Artikel 128 (1) Perlembagaan Persekutuan.

— BERNAMA