Shahrizat Abdul Jalil
Bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (dua kiri) beramah mesra dengan sebahagian perwakilan Wanita UMNO yang hadir pada pemilihan tiga sayap UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 23 JUN 2018.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan persaraannya daripada karier politik selepas hampir 9 tahun mengetuai Wanita UMNO dan mahu menumpukan sepenuhnya masa untuk bersama keluarga.

Bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, sudah sampai masa untuk memberi tanggungjawab kepada pelapis baharu mengetuai Wanita UMNO bagi membolehkan pergerakan tersebut lebih relevan pada masa depan.

“Saya akan bersara daripada politik dan habiskan masa dengan cucu saya, saya juga sudah lepaskan semua jawatan peringkat cawangan dan bahagian.

“Kamu harus tahu bila perlu berhenti, saya sudah lama dalam politik… kini tiba masanya untuk beri peluang kepada muka baharu yang lebih segar,” kata beliau semasa ditemui media di PWTC ketika proses pengundian pemilihan UMNO berlangsung hari ini.

Beliau juga berterima kasih kepada semua ahli Wanita UMNO yang memberinya sokongan sepanjang 9 tahun mengemudi pergerakan tersebut dan mengharapkan ketua yang baharu nanti dapat mengembalikan semula kegemilangan pergerakan itu.

“Saya berterima kasih kepada seluruh Wanita Malaysia kerana selama 9 tahun jadi sokongan mereka kepada saya ketika menjadi ketua… saya amat hargai kerana saya dapat jalankan tugas dengan tenang.

“Saya harap ketua yang baharu nanti dapat membawa Wanita UMNO ke arus perdana,” ujarnya.

Shahrizat memegang jawatan Ketua Wanita setelah mengalahkan pencabarnya yang juga merupakan penyandang terdahulu iaitu Tan Sri Rafidah Aziz pada 2009.

Beliau tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan UMNO hilang kuasa sebagai kerajaan pusat buat kali pertama.

Hari ini berlangsung mesyuarat tiga sayap UMNO bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri secara serentak dengan agenda pemilihan kepemimpinan baharu pergerakan bagi peringkat bahagian dan pusat.

Bagi pemilihan Wanita di peringkat pusat, tiga calon termasuk Naib Ketua Wanita, Datuk Seri Azizah Mohd Dun; bekas Ketua Wanita, Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman; dan bekas Ketua Puteri yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad mengintai jawatan ketua. – MalaysiaGazette