Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka menyaksikan dagangan yang tidak banyak berubah atau mendatar minggu depan ketika para pelabur lebih memilih untuk bersikap ‘tunggu dan lihat’ terhadap penyelarasan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, aspek penyelarasan dasar seperti perubahan pimpinan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ternyata kekal antara alasan yang menyebabkan pelabur lebih selesa berada di luar pasaran.

“Langkah itu akan membabitkan ramai pemimpin kanan GLC yang sememangnya telah dikenali pasaran sejak bertahun lamanya.

“Jangkaan perubahan yang berlaku itu menyebabkan (pelabur) dana asing memerhati perkembangan itu dan mahu mendapatkan lebih banyak petunjuk jelas mengenai tindak-tanduk kerajaan yang seterusnya,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Nazri Khan berharap indeks petunjuk utama itu akan kekal melebihi paras sokongan 1,680 mata pada minggu depan berdasarkan kekuatan asas-asas ekonomi dan kewangan negara yang mantap.

Mengulas pelantikan Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus sebagai Gabenor baharu Bank Negara Malaysia (BNM), beliau yakin pengumuman yang dibuat hari ini akan menyuntik rangsangan kepada pasaran tempatan.

“Sebelum ini, Datuk Nor Shamsiah berkhidmat sebagai Timbalan Gabenor. Sejajar pengalaman luasnya dalam industri ini, sudah pasti pelantikan beliau akan meningkatkan keyakinan dana asing di pasaran,” katanya.

Pada Jumaat, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan pelantikan Nor Shamsiah sebagai Gabenor baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Julai, 2018 sehingga 30 Jun, 2023.

Nor Shamsiah pernah menggalas tugas sebagai Timbalan Gabenor BNM pada 2010 hingga 2016 dan seterusnya sebagai Penolong Pengarah Bahagian Kewangan dan Pasaran Modal Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Dalam pada itu, bagi minggu yang baru berakhir, bursa tempatan kebanyakannya menyaksikan dagangan lebih rendah, seiring dengan prestasi pasaran serantau yang sebahagian besarnya diasak kesan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China dan tindakan pelabur asing melepaskan pegangan mereka di pasaran negara sedang pesat membangun termasuk Malaysia.

Bagaimanapun, penyusutan itu dapat dikekang dengan berita pelantikan Gabenor baharu pada Jumaat yang menyaksikan pasaran ditutup lebih tinggi daripada paras terendah dalam tempoh 15 bulan iaitu 1,692.32 yang dicatatkan sewaktu penutupan pada Khamis.

Pada asas Jumaat hingga Khamis, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI merosot 67.63 mata kepada 1,694.15 daripada 1,761.78..

Pasaran didagangkan separuh hari pada Khamis lepas dan ditutup pada keesokannya bersempena cuti umum Hari Raya Aidilfitri.

Indeks FBM Emas merosot 405.32 mata kepada 11,973.46, Indeks FBMT100 susut 406.14 mata kepada 11,758.64, FBM 70 kehilangan 266.53 mata kepada 14,561.80 manakala Indeks FBM Emas Shariah turun 431.82 mata kepada 12,041.89.

FBM Ace turun 50.86 mata kepada 5,267.46 .

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 637.88 mata kepada 16,854.96, Indeks Perladangan berkurangan 272.89 mata kepada 7,509.76 manakala Indeks Perindustrian merosot 46.28 mata kepada 3,118.97.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 10.19 bilion unit bernilai RM11.81 bilion berbanding 8.71 bilion unit bernilai RM9.83 bilion, sebelumnya.

Di pasaran, jumlah dagangan melonjak kepada 6.22 bilion saham bernilai RM10.96 bilion daripada 5.59 bilion saham bernilai RM9.17 bilion.

Jumlah waran meningkat kepada 2.44 bilion unit bernilai RM590.20 juta daripada 1.86 bilion unit bernilai RM424.42 juta.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan bertambah kepada 1.51 bilion saham bernilai RM259.44 juta berbanding 1.26 bilion saham bernilai RM234.38 juta. – Bernama