KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan telah menahan Siti Zabedah Kassim atau lebih dikenali sebagai Siti Kassim tengah malam tadi kerana menghalang tugas penjawat awam.

Peguam itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang 12.40 malam tadi selepas polis menerima laporan yang dibuat seorang wanita yang mendakwa anak perempuannya berusia 24 tahun telah dilarikan oleh Siti Kassim pada Khamis lalu.

Siti Kasim didakwa melarikan gadis itu ketika dia sedang menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Kajang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat dalam kenyataannya berkata, polis turut menerima laporan oleh seorang anggota polis yang mengiringi wanita berkenaan yang mendakwa berlaku kekecohan di wad pemeriksaan ketika Siti Kassim menyerbu masuk walaupun telah dihalang oleh pengawal keselamatan.

Gadis berusia 24 tahun itu dibawa keluar dari sebuah kondominium di Segambut pada 9 malam tadi.

“Polis terpaksa memecah masuk rumah tersebut selepas mangsa enggan memberikan kerjasama dan menguncikan diri dari dalam rumah,” katanya.

Gadis berkenaan telah dihantar semula ke Hospital Kajang untuk menjalani prosedur pemeriksaan yang tertangguh sebelum ini.

Fadzil berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu menculik dan Seksyen 186 kanun sama iaitu menghalang tugas penjawat awam. – MalaysiaGazette