Mahathir Mohamad
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) diiringi Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua kiri) bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 25 JUN 2018

PETALING JAYA – Mana-mana pemimpin atau wakil rakyat UMNO yang ingin menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) perlu tahu dan belajar falsafah dan budaya parti terlebih dahalu.

Itu amaran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merangkap Pengerusi PPBM.

Tegas beliau, ia adalah antara kriteria yang akan ditapis oleh PPBM untuk menerima masuk mana-mana mana pemimpin atau wakil rakyat UMNO sebagai ahli parti

“Budaya dan falsafah PPBM lain dengan UMNO, jadi mereka kena tahu dan belajar apa budaya PPBM.

“Itu kriteria yang ditapis untuk menerima pemimpin atau wakil rakyat UMNO. Kalau ahli biasa UMNO tidak ada masalah untuk kita terima dan PPBM memang terima permintaan yang ramai untuk sertai kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media PPBM di Menara Yayasan Selangor di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

Ditanya ura-ura Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali mengumumkan keluar UMNO dan Barisan Nasional semalam selain Ahli Dewan Negeri Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang sebelum ini dikatakan berminat menyertai PPBM, Mahathir berkata, pimpinan tertinggi parti tidak membincangkan hal itu dalam mesyuarat PPBM hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast