Gobind Singh

PETALING JAYA – Kerajaan akan mengkaji kaedah Finland untuk menetapkan kelajuan minimum Internet bagi memastikan kualiti Internet dan menjamin kepentingan pengguna, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, Malaysia akan mempertimbangkan perkara itu selepas kerajaan menjadikan kemudahan Internet sebagai hak asasi dan meningkatkan kemudahan yang ada di negara ini.

Gobind berkata, kementeriannya telah mengumumkan untuk mengurangkan bayaran jalur lebar sebanyak 25 peratus menjelang akhir tahun.

Katanya, keputusan itu akan disusuli dengan pengurangan bayaran perkhidmatan Internet serta menambahkan kelajuan Internet untuk merealisasikan “pertambahan kelajuan dan pengurangan bayaran sebanyak 50 peratus” yang dijanjikan Pakatan Harapan.

Beliau berkata, kadar bayaran di Malaysia ialah RM120/10Mbps iaitu lebih mahal berbanding RM74/50Mbps di Thailand dan RM134/1Gbps di Singapura.

Gobind berkata, beliau berharap dapat bertemu dengan syarikat telekomunikasi setiap bulan untuk mendengar pandangan mereka dan membolehkan syarikat berkenaan terlibat dalam proses membuat keputusan kerajaan.

“Matlamat saya ialah mengurangkan beban rakyat dan menambah baik kemudahan yang ada. Ini bertujuan membolehkan kita bersaing dengan negara lain.

” Saya mahu melihat hasilnya dan kami harus mencapai matlamat berkenaan,” katanya dalam wawancara dengan Sinchew Daily.

Gobind berkata, beliau juga mencadangkan pemindaan Perlembagaan Persekutuan supaya Internet dijadikan hak asasi rakyat.

“Saya pasti wakil rakyat lain juga akan menyokong kerana ini bukan soal politik, tetapi perkara yang memanfaatkan semua orang,” katanya.

Beliau berkata, dengan menjadikan Internet sebagai hak asasi, maka kerajaan mempunyai kewajipan bagi memastikan kemudahan Internet diberikan termasuk menyediakan optik fiber dalam projek pembangunan.

“Selain sekolah, semua projek perumahan harus disediakan optik fiber sebelum permulaan projek,” katanya. – MalaysiaGazette