Disahkan mengandungi cacing berbahaya kepada manusia.
Disahkan mengandungi cacing berbahaya kepada manusia.

KUALA LUMPUR – Sardin dalam tin jenama Ranesa disahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mengandungi cacing.

Menerusi kenyataan media MAQIS berkata, perkara tersebut disahkan hasil pemeriksaan fizikal dan persampelan antara sardin yang memenuhi dua buah kontena berjumlah RM199,797.24 ditahan daripada masuk Malaysia dari China menerusi Pulau Pinang baharu-baharu ini.

Cacing itu dikatakan berisiko mengakibatkan penyakit anisakiasis pada manusia.

“Cacing tersebut kemungkinan daripada Genus Anisakis spp yang boleh menyebabkan penyakit anisakiasis pada manusia.

“Anisakiasis adalah penyakit parasit dan zoonotik bawaan ikan yang disebabkan oleh nematode Anisakis spp (cacing) yang menyerang sistem gastrointestinal (seperti perut dan usus) manusia dan boleh menyebabkan masalah atau simptom gastrointestinal seperti sakit perut, cirit-birit, loya dan muntah.

“Penyakit ini biasanya berlaku apabila manusia memakan makanan laut seperti ikan yang mentah atau tidak dimasak sepenuhnya yang dijangkiti parasit Anisakis spp,” kata kenyataan itu.

Menurut MAQIS, perbuatan mengimport tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma dengan perosak, penyakit atau bahan cemar boleh didakwa di bawah seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Kes ini tambah kenyataan itu akan disiasat terlebih dahulu sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Untuk rekod, pada Mac tahun ini satu lagi jenama sardin juga didakwa mengandungi cacing.-MalaysiaGazette