Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

KUALA LUMPUR – Anggaran nilai barangan yang dirampas daripada premis yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak  bukan dari pihak polis.

Sebaliknya, penilaian itu dibuat oleh pakar-pakar yang dilantik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Semalam, polis mengumumkan nilai rampasan barang-barang rampasan itu mencecah  antara RM900 juta sehingga mencecah RM1.1 bilion.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, penilaian itu dibuat secara telus oleh pakar dan mengikut proses yang ditetapkan

“Yang menilai barangan tersebut bukan pegawai polis tetapi pakar yang telah dibawa oleh kita untuk bantu membuat pernilaian dalam tempoh ditetapkan.

“Kita tidak nilai ikut suka hati kerana kita ada proses,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 13/2018 sempena Hari Raya Aidilfitri di Bukit Aman di sini hari ini.

Semalam, Najib menafikan nilai anggaran yang didedahkan oleh pihak polis dengan mengatakan tidak realistik dan subjektif terutamanya barangan kemas.

Menurut Najib, nilai bagi barangan yang dirampas itu subjektif kerana terdapat batu pada barang kemas yang dirampas itu berusia kira-kira 20 tahun.

Sebelum itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mendedahkan nilai wang tunai dan barang kemas serta beg tangan berjenama yang dirampas menerusi beberapa pemeriksaan terhadap premis yang berkaitan dengan Najib mencecah hingga RM1.1 bilion.

Mohamad Fuzi menambah, setakat ini pihaknya tidak dapat mengenalpasti lagi mana-mana induvidu yang telah memberikan barangan berharga itu sebagai hadiah.

Beliau juga mengalu-alukan pihak berkenaan tampil memberikan kenyataan.

“Kita memang belum dapat kenalpasti siapa yang berikan barangan ini sebagai hadiah tetapi sesiapa yang mahu tampil, kita tidak halang malah mengalu-alukan mereka.

“Kita juga tidak dapat beritahu anda adakah siasatan kes ini sudah tamat kerana kita menyiasatnya dari pelbagai sudut, saya tidak dapat berikan tarikh atau ‘dateline’ itu,” katanya ketika diasak wartawan tentang status siasatan Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor.

Ditanya tentang permintaan Najib yang mahu melihat sendiri barang dirampas, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya tiada masalah dengan permintaan itu.

“Jika ada permintaan kita benarkan dan setakat ini, tiada permintaan daripada beliau.

‘Barangan itu ditempatkan di tempat yang dibenarkan di Bank Negara Malaysia (BNM), proses itu bagaimanapun akan melalui prosedur yang ditetapkan,” ujarnya. – Malaysia Gazette