KUALA LUMPUR- Pasukan Petugas Khas (Task Force) 1MDB mengesahkan telah membekukan sejumlah akaun milik individu dan beberapa organisasi termasuk UMNO serta parti-parti politik lain yang dipercayai terlibat dengan penyelewengan dana 1MDB.

Turut dibekukan ialah akaun milik persatuan dan syarikat yang juga terlibat dalam siasatan kes ini.

Pasukan Petugas Khas 1MDB memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara adil dan profesional serta mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Sehubungan itu, semua pihak diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan proses siasatan tersebut serta tidak membuat sebarang spekulasi dan mensensasikan kes berkenaan kerana dikhuatiri akan menjejaskan proses siasatan.

Pasukan itu dianggotai Tan Sri Abdul Gani Patail, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Datuk Abdul Hamid Bador.- MalaysiaGazette